KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor secara rasmi mengambil alih tampuk kepimpinan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat)
susulan Mesyuarat Agung Khas (EGM) parti itu hari ini.

Hajiji yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah berkata, dengan langkah ini semua
ahli kini mempunyai wadah politik yang 100 peratus tempatan untuk meneruskan
perjuangan mereka kepada rakyat dan negeri.

“Dua ciri utama Gagasan Rakyat yang menjadi faktor penarik saya dan rakan-rakan
untuk bersama-sama dalam parti ini ialah parti berbilang kaum yang membawa citra
inklusiviti dan parti suara anak Sabah yang mengangkat citra perjuangan tempatan,”
katanya.

Ini juga faktor yang meyakinkan rakan-rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS)
untuk menerima segera Gagasan Rakyat sebagai rakan komponen terbaharu mereka,
katanya pada EGM Gagasan Rakyat yang dihadiri lebih 150 ahli di Sabah International
Convention Centre (SICC), di sini.

“Tambahan lagi, mereka (parti komponen GRS) sudah lama menyatakan hasrat agar
GRS menjadi platform tempatan dalam erti kata sebenar, iaitu semua rakan kongsi
menjadi parti tempatan. Sekarang kita 100 peratus tempatan,” katanya.

Selain itu, Hajiji berkata agenda Gagasan Rakyat juga selari dengan empat tonggak
perjuangan GRS – Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Melangkah
ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya) dan Sabah United (Sabah yang
Bersatu).

Hajiji berkata sebagai sebuah parti tempatan tidak bermaksud kita menolak agenda
nasional atau membelakangkan kepentingan negara. Malaysia adalah tanah air kita.

Namun, sebagaimana matlamat asal kita membina Malaysia adalah untuk merubah
tahap pembangunan rakyat dan bumi Sabah.

“Hari ini, iaitu tahun 2023 sempena ulang tahun 60 tahun pembentukan Malaysia, kami
yakin dan percaya bahawa platform tempatan adalah yang terbaik untuk Sabah.

 

“Kita memilih dan memutuskan bahawa formula tempatan berupaya melonjakkan
agenda perjuangan dan kepentingan negeri dalam dalam Persekutuan Malaysia. Kita
mahu pelaksanaan sistem federalisme yang lebih bernilai dan bermakna dengan
berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)

“Atas faktor itu, kami akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menerima dan
mengutamakan kepentingan Sabah.

“Apa yang lebih penting bagi kita ialah mendapat pengiktirafan dan pelaksanaan hak,
kuasa serta kedudukan istimewa Sabah seperti yang termaktub dalam undang-undang
tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan, undang-undang yang mewujudkan
Persekutuan Malaysia, iaitu MA63. Tiada Malaysia tanpa MA63,” katanya.

“Kami bersyukur kerana kepimpinan tertinggi negara, Perdana Menteri Datuk Seri
Anwar Ibrahim amat komited untuk menunaikan tanggungjawab Putrajaya untuk
melaksanakan MA63. Beliau belum pun memegang jawatan selama 100 hari tetapi kita
sudah melihat kemajuan yang ketara. Kita akan terus meningkatkan kerjasama dengan
Kerajaan Persekutuan untuk membina Sabah dan Malaysia Madani yang progresif,”
katanya.

Hajiji berkata beliau akan menerangkan dengan lebih terperinci hala tuju Gagasan
Rakyat sempena pelancaran parti itu pada 2 Mac ini.

Gagasan Rakyat akan menubuhkan struktur organisasi parti di semua 73 DUN termasuk
pembentukan sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis.

Mesyuarat agung tahunan cawangan dan bahagian masing-masing telah dijadualkan
pada Julai dan September, dengan Kongres Tahunan pada bulan November.

Hajiji mengucapkan terima kasih kepada bekas presiden parti, Stephen Jimbangan dan
kepimpinan parti itu atas kepercayaan dan keyakinan mereka terhadapnya serta atas
kesediaannya berkorban demi kebaikan Sabah dan rakyatnya.

Hajiji turut mengumumkan barisan awal Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat dengan
selebihnya akan dilantik dalam masa terdekat.-pr/BNN