KUALA LUMPUR: Saya yakin Malaysia akan lebih maju dan pemerintahannya lebih stabil sekiranya ada perpaduan dan kerjasama semua pihak, dan tuntutan Sabah dan Sarawak di bawah MA63, IGC Report, 20 Perkara dan Perlembagaan dilaksanakan.
Ahli Parlimen P.180 Keningau Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan berkata demikian dalam ucapannya di Dewan Parlimen hari ini.
Terlebih dahulu Kitingan berkata walaupun layanan Kerajaan Persekutuan terhadap Sabah dan Sarawak semakin baik namun masih banyak hal yang perlu diperbetulkan dan perlu dibuat antaranya status Sabah dan Sarawak dalam Malaysia.
“Adakah kita negeri, negara atau wilayah?
Jelasnya semasa Proklamasi Malaysia pada 16 September 1963 yang dibaca dan disebarkan ke seluruh dunia dengan jelas menyatakan Persekutuan Malaya telah bergabung dan disekutukan dengan Sabah dan Sarawak untuk membentuk Persekutuan Malaysia.
“Dalam Proklamasi tersebut, Sabah dan Sarawak dirujuk sebagai Negara sama dengan rujukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dipinda dan berkuatkuasa pada 16 September 1963.
“Ketua Negara Sabah dan Negara Sarawak digelar Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negara Sabah dan Yang DiPertua Negara Sarawak, masing-masing.
“Kini Malaysia terdiri daripada tiga (3) entity maka itu perlulah penjelasan tentang kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia ini.
Kitingan berkata syarat-syarat perjanjian janji-janji semasa penubuhan Malaysia masih perlu dijelaskan.
“Bapa-bapa Kemerdekaan Malaysia (Malaya, Sabah dan Sarawak) telah bersetuju menubuhkan Persekutuan Malaysia atas dasar-dasar dan syarat-syarat yang telah dikupas dan dibincang sebelum dipersetujui.
“Ada juga yang termaktub di dalam Perlembagaan selain daripada 20-Perkara dan Laporan IGC.
“Saya amat bersetuju dengan pandangan Tuanku dan YAB Perdana Menteri bahawa sudah tiba masanya untuk kita melaksanakan apa jua yang telah dipersetujui oleh bapa-bapa Kemerdekaan.
“Sabah dan Sarawak dijanjikan akan menikmati Keselamatan dan Pembangunan malah dipujuk bergabung menubuhkan Malaysia. Tetapi selepas 60 tahun dalam Malaysia, 8 dari 10 Daerah termiskin adalah di Sabah.
Kitingan menegaskan bahawa Sabah menjadi Negeri yang tidak Selamat apabila diceroboh oleh Tentera Sultan Sulu daripada Negara Filipina Selatan, dan seringkali diceroboh oleh Pengganas Abu Sayaf dan penculik-penculik daripada kawasan yang sama.
“Ketidakselamatan Sabah bertambah buruk apabila pemimpin Kerajaan membuka ruang kepada Pelarian dan Pendatang Asing Tanpa Izin menjadi penggundi melalui projek IC semasa pemerintahan Barisan Nasional, pada waktu itu juga, menjadikan Sabah lebih miskin kerana penduduk Sabah telah bertambah secara mendadak sehingga 300 hingga 400% seperti ternyata di dalam laporan RCI 2014.
Beliau menjelaskan bahawa ketidakselamatan Sabah telah bertambah buruk apabila pemimpin Kerajaan Persekutuan membuka ruang kepada Pelarian dan Pendatang Asing Tanpa Izin menjadi pengundi melalui projek IC semasa pemerintahan Barisan Nasional. Pada waktu itu juga, telah menjadikan Sabah lebih miskin kerana penduduk Sabah telah bertambah secara mendadak sehingga tiga ratus hingga empat ratus peratus (300 – 400%) seperti yang dinyatakan di dalam laporan RCI 2014.
“Sebelum pembentukan Malaysia, Sabah berkuasa dan kaya walaupun masih mundur. Ini disebabkan Sabah mempunyai hutan balak dan berkuasa ke atas sumber mineral, minyak dan gas.
“Tercatat dalam Hansad DUN Sabah pada tahun 1969 bahawa Ketua Menteri Sabah telah menandatangani enam (6) Perjanjian Minyak dengan syarikat gergasi antarabangsa minyak untuk mengeksplorasi dan melombong minyak dan gas di Sabah dengan pulangan, antara lain, 12.5% royalti.
“Tetapi bilamana pada tahun 1976, PETRONAS telah mengambilalih hakmilik dan sumber minyak melalui Petroleum Development Act (PDA 1974). Pulangan kepada Sabah hanya 5%, iaitu Sabah rugi 7.5%.
“Sabah dan Rakyat Sabah bertambah miskin lagi apabila kehilangan kuasa kemerdekaanya melalui pembentukan Malaysia di mana hak hasil bersih 40% kewangannya tidak dipulangkan oleh Kerajaan Persekutuan mengikut janji dan perlembagaan dalam artikel 112C / 112D dan item 2(1) Bahagian IV Jadual Ke-10 dalam Perlembagaan, sejak 1974.
“Persoalannya, di manakah 40% ini selama 48 tahun?
“Bilakah formal “financial review”akan diadakan? Ini adalah review mendatori setiap lima tahun tetapi tidak dibuat sejak tahun 1974.
Kitingan menjelaskan bahawa keadaan sosio ekonomi Sabah bertambah buruk apabila pimimpin-pemimpin pusat membawa parti-parti politik mereka ke Sabah, dan, merekrut dan mengimport orang-orang asing dari Filipina dan Indonesia sebagai pengundi, dan memberikan mereka Kad Pengenalan IC Malaysia dan kewarganegaraan mengikut pintu belakang, sepertimana yang dikatakan di dalam laporan RCI 2014.
“Dengan Slogan “Demi Bangsa dan Agama”, mereka cuba melaksanakan Social-Engineering di Sabah.
“Malah Perdana Menteri pada masa itu sanggup membelakangkan Perlembagaan Sabah untuk mengatur Penggiliran Ketua Menteri Sabah setiap 2 tahun, demi kuasa politik mereka. Tetapi bila sampai giliran parti mereka, tidak ada pula penggiliran.
Tegasnya, “This is probably the darkest political history of Sabah. And I hope this will never-ever happen again.
“Oleh sebab semua ini, tidak hairanlah Sabah menjadi negeri termiskin di Malaysia.
“Sabah is not only the poorest (according to World Bank) but the sickest (INDEP) and highest illiteracy in Malaysia.
Katanya seperti yang telah banyak dikupas oleh ahli-ahli parlimen dari Sabah dan antaranya ialah dari Kota Belud, boleh dikatakan pembangunan di Sabah ketinggalan 30-50 tahun ke belakang berbanding pembangunan di Semenanjung. Maka dengan keadaan dan kemunduran itu Sabah memerlukan bantuan dan dorongan terutamanya dalam pembangunan.
Menurut Kitingan untuk Sabah dan Sarawak mampu mengejar pembangunan di Malaya, perlu ada dana membangun yang mencukupi, keadilan dan menghormati perkongsian kita bersama sebagai rakan kongsi membentuk Malaysia.
“Maka itu dicadangkan dana pembangunan setiap tahun sepatutnya mengikut nisbah yang baru, formula baru yang lebih adil iaitu 50% untuk Semenanjung, 25% di Sarawak dan 25% di Sabah. Barulah kita boleh kejar pembangunan yang ada di Semenanjung.
“Kita juga perlu mempastikan hak kewangan 40% ini dapat ditunaikan dengan cepat dan bukan hanya RM260 juta (Sabah) dan RM300 juta (Sarawak).
“Perlu juga status Sabah dan Sarawak dikembalikan.
“Dan yang penting sekali, saya meminta supaya peruntukan untuk PAN-Borneo ini dipercepatkan kerana Tuanku telah lafazkan hasrat untuk melihat, “…to drive on the PAN-Borneo High Way.”.
“Saya harap peruntukan akan diturunkan dengan cepat pada tahun ini agar hasrat Tuanku menjadi kenyataan dan Konvoi Kembara Tuanku dapat mengguna lebuh raya tersebut, dan disambut meriah oleh rakyat Sabah, penuh dengan protocol sebagai Yang DiPertuan Agong sebelum tuanku berangkat pulang ke Negeri Pahang pada tahun yang akan datang.
“Perlu juga sokongan daripada Kerajaan Pusat untuk membangunkan ekonomi Sabah dan Sarawak memandangkan pemindahan pusat, ibu pejabat ataupun ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Nusantara Kalimantan.-pr/BNN