KOTA KINABALU: Umat Islam di negeri ini perlu melipatgandakan usaha dengan meningkatkan daya saing dan inovasi dalam pelbagai sektor, untuk menghadapi
pelbagai cabaran yang mendatang, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji
Haji Noor.
Dalam konteks ini, beliau yakin dengan penghayatan terhadap al-Quran, umat Islam
akan menjadi umat yang dinamik, progresif dan cemerlang.
“Sesungguhnya kitab suci al-Quran mengandungi begitu banyak pengajaran dan
panduan yang sepatutnya kita manfaatkan untuk menjadi sebuah bangsa dan umat
yang berjaya dalam semua aspek kehidupan.
“Islam amat menggalakkan umatnya mengamalkan semangat berlumba-lumba dan
bersaing dalam semua bidang untuk mencapai kemajuan dan kejayaan. Ia adalah resepi
membangunkan masyarakat yang bersemangat untuk maju, bukan sahaja dari segi
teknikal tetapi turut digabungkan dengan nilai-nilai keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Penyampaian Hadiah dan Penutupan Majlis Tilawah
dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sabah di Dewan Saadah, Wisma MUIS di sini,
pada Khamis.
Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar bin Datuk Haji
Mahiruddin menyempurnakan Perutusan Perasmian Majlis Tilawah dan Hafazan Al-
Quran Peringkat Negeri Sabah.
Yang turut hadir Isteri Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Datuk Seri Panglima
(Dr) Hajah Norlidah binti Tan Sri Datuk R.M. Jasni dan isteri Ketua Menteri, Datin Seri
Panglima Datuk Hajah Juliah Salag.
Dalam pada itu, Hajiji berkata Kerajaan negeri komited untuk membawa negeri Sabah
ke tahap yang lebih baik dan maju sejajar dengan konsep Malaysia Madani yang
digagaskan oleh Kerajaan Perpaduan.
Komitmen ini katanya, diterjemahkan dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju
Jaya (SMJ) yang memberi penekanan kepada aspek pemerkasaan pendidikan dan
latihan, pengupayaan sektor ekonomi dan pengukuhan hubungan serta persefahaman
antara masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya di negeri ini.
“Kita sesungguhnya amat bersyukur kerana Sabah diberikan sumber rezeki yang
melimpah ruah. Selain rezeki berupa tanaman dan ternakan, tanah bertuah ini juga
dilimpahi dengan nikmat alam sekitar yang cantik selain sumber alam lainnya seperti
minyak dan gas.
“Dengan segala nikmat ini, kita perlu menguruskan segala sumber kekayaan itu dengan
penuh amanah. Justeru, semua pihak mesti berjiwa besar untuk menerapkan
kebijaksanaan serta kemahiran bagi mengoptimumkan keupayaan dalam meneroka
dan memanfaatkan potensi sumber kekayaan itu.
“Segala hasil pertanian, ternakan, hutan, petroleum, gas dan sebagainya itu tidak akan
memberi sebarang keuntungan dan manfaat jika manusia tidak tahu dan mahu
mengambil inisiatif mengubah diri sendiri untuk menghargai serta mensyukuri nikmat
secara positif, kreatif dan inovatif,” katanya.
Katanya, selain daripada memulihara sumber huluan yang ada rakyat harus bijak dan
kreatif mempelbagaikan industri hiliran sebagai upaya memberi nilai tambah kepada
hasil ada.
“Keupayaan ini tentunya hanya mampu dilakukan menerusi penguasaan ilmu
pengetahuan serta kemahiran yang relevan seperti bidang sains dan teknologi,
kejuteraan dan matematik.
“Dalam konteks negeri Sabah, kita bersyukur kerana disebalik pelbagai cabaran yang
dihadapi sama ada di peringkat global mahu pun di peringkat domestik, usaha untuk
membangunkan negeri dalam pelbagai sektor menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya,
kini berada di landasan yang betul.
“Justeru seluruh rakyat jelata di negeri ini tanpa mengira bangsa dan anutan agama
harus menyokong usaha yang boleh mengukuhkan perpaduan,” katanya.-pr/BNN