KOTA KINABALU: Tiga cadangan boleh dipertimbangkan kerajaan Malaysia dalam usaha mengeratkan lagi hubungan sedia terjalin diantara negara ini dan China.
Naib Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Sabah Datuk Ronnie Loh Ee Eng berkata, sempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan Malaysia-China pada tahun hadapan, beliau mencadangkan tiga perkara.
“Pertama, tidak lagi perlu bergantung kepada mata wang Amerika Syarikat (AS). Kedua, pengecualian visa diantara Malaysia dan China dan ketiga, melaksanakan sepenuhnya perkongsian strategik ekonomi Laut China Selatan.
“Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China baru-baru ini telah mengeratkan lagi hubungan dua hala ke arah lebih stabil dan konsep kerajaan perpaduan Malaysia kini diterima baik diperingkat antarabangsa.
“Langkah positif diambil negara telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM170 bilion, usaha ini adalah sesuatu yang membanggakan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, cadangan Anwar mengenai penubuhan Tabung Kewangan Asia (AMF) dilihat berpandangan jauh ke hadapan sekali gus mempunyai wawasan jangka panjang untuk negara ini.
Katanya, ia juga menunjukkan keberanian kepimpinan Malaysia diperingkat antarabangsa. Sekiranya cadangan itu berjaya dilaksanakan, maka pasaran Asia tidak lagi akan bergantung dengan mata wang AS.
“Cadangan Anwar kepada kepimpinan China untuk pengecualian penggunaan visa kemasukan untuk rakyat kedua-dua negara. Sekiranya cadangan ini dilaksanakan, ia sudah pasti menjadi satu berita baik kepada hubungan dua hala negara khususnya dari segi ekonomi, politik, kebudayaan dan pendidikan.
“Sudah pasti negara ini akan menerima limpahan pelancong China yang datang secara beramai-ramai, sekali gus melonjakkan industri pelancongan dan ekonomi Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, beberapa tahun lalu, Duta Besar China ke Malaysia pernah mengemukakan permohonan agar kerajaan Malaysia membenarkan pelancong China memasuki negara ini tanpa memerlukan visa perjalanan.
Katanya, walaupun hasrat berkenaan tidak berjaya di masa lalu, kali ini diharapkan usaha berkenaan dapat direalisasikan.
Selain itu katanya, Malaysia juga negara pertama yang menyokong inisiatif Jalur dan Laluan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai rakan dagang terbesar selama 14 tahun berturut-turut.
Menurutnya, inisiatif itu telah menjadi sumber pelaburan terbesar di Malaysia dipelbagai sektor ekonomi.
Berkaitan dengan tuntutan keturunan Sultan Sulu ke atas Sabah, kerajaan Malaysia diminta untuk lebih berhati-hati dan terus mempertahankan kedaulatan negara.
Beliau juga mencadangkan agar China dibenarkan untuk membina sebuah pangkalan keselamatan di Utara Sabah, khususnya di perairan Kudat agar bersama-sama pasukan keselamatan negara ini untuk menguatkan lagi sempadan perairan di sini.-pr/BNN