KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Malaysia bersetuju membayar RM9,280 untuk pelesenan royalti penggunaan lagu etnik tempatan bagi acara Pesta Kaamatan UPKO 2023 peringkat nasional yang dijadualkan pada 6 dan 7 Mei depan di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli.
Perkara tersebut diputuskan dalam satu sesi taklimat perjumpaan antara UPKO dan Music Rights Sabah (MRS) Berhad di pejabat MRS pagi tadi.
Pelesenan royalti penggunaan lagu etnik tempatan tersebut adalah merangkumi penggunaan lagu etnik dalam pelbagai acara seperti pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan, Rombituon Kaamatan, Gala Night (Fund Raising Dinner), persembahan artis tempatan, persembahan karaoke terbuka, persembahna tarian kebudayaan, koir, busking dan penggunaan lagu / muzik etnik di gerai-gerai pameran dan jualan.
Turut termasuk adalah acara sambutan sama yang dijangka diadakan di kawasan UPKO Bahagian Kadamaian, Kota Belud dalam masa terdekat.
Dalam sesi taklimat yang disampaikan oleh Pengurus Single Event MRS, Ronney Ajim, rombongan UPKO diberi penerangan berkenaan pengenalan MRS sebagai sebuah Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) yang tunggal di Sabah, operasi pelesenan MRS dan beberapa perkara yang berkaitan dengan sambutan itu.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan MRS, Tuan Asmin Mudin bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan dan tanggungjawab UPKO dalam membela nasib penggiat seni tempatan.
“UPKO tidak putus-putus memainkan peranan mereka dalam memenuhi tuntutan dan aspirasi rakyat terutama golongan penggiat seni tempatan.” Kata Asmin yang juga seorang komposer.
Sebagai rekod, UPKO banyak membantu merealisasikan kewujudan Music Rights Sabah sehingga diisytiharkan secara rasmi sebelum ini. Dua program Wisdom Foundation Webinar yang dianjurkan oleh mantan Presiden UPKO Malaysia, YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, sekitar 2020-2021, adalah perintis kepada pengisytiharan MRS sebagai sebuah CMO tunggal di Sabah.
Rombongan UPKO diwakili oleh Carl Mossom (Setiausaha Penganjur UPKO Malaysia), Rowindy Lawrence (Timbalan Setiausaha Penganjur UPKO Malaysia) dan Jeffrey Teo (Pengerusi Pelaksana Kaamatan UPKO Malaysia 2023).
Carl yang juga Setiausaha Politik kepada Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, turut menyerahkan sebuah buku Program Keusahawanan 2023 terbitan kementerian terbabit kepada Music Rights Sabah (MRS) Berhad dalam pertemuan tersebut.-pr/BNN