TUARAN: Sambutan acara kebudayaan seperti Pesta Kaamatan mampu menjadi platform untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata perayaan ini juga
menjadi platform untuk mempromosikan kesepaduan sosial dan membantu membina
jambatan persefahaman antara masyarakat etnik yang berbeza.

Selain itu katanya, Pesta Kaamatan juga adalah peluang bagi masyarakat
Kadazandusun Murut dan Rungus untuk mempamerkan tradisi dan adat tradisi mereka,
sama ada melalui tarian, muzik, serta pakaian tradisional.

“Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada sambutan dan program
kebudayaan serta keagamaan. Kita percaya program kebudayaan dapat memantapkan
lagi perpaduan masyarakat yang berbilang kaum dan memberi peluang untuk kita
mengenali, memahami serta menghargai adat dan budaya suku kaum masing-masing.

“Kepelbagaian budaya dan warisan dengan keharmonian 35 etnik dan 217 subetnik di
Sabah telah menjadikan ‘Negeri Di Bawah Bayu’ sebagai bumi yang unik bagi setiap
rakyat dan tetamu yang bertandang ke negeri ini.

“Justeru, ini amat signifikan dengan usaha kerajaan untuk memartabatkan warisan
kebudayaan dan kesenian rakyat tempatan. Budaya merupakan aspek penting dalam
kehidupan kita yang menjadi identiti sesuatu etnik dan harus dipelihara serta
dimartabatkan untuk kepentingan semua,” katanya sempena Majlis Pelancaran
Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Seri Sulaman, di sini,
pada Isnin.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri
Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G
Kitingan.

Ketua Menteri berkata Pesta Kaamatan ini bukan sahaja bertujuan menyatakan rasa
kesyukuran di atas hasil tuaian yang baik tetapi juga memberi peluang kepada saudara
mara untuk berkumpul dan mengeratkan silaturahim serta perpaduan.

 

“Semangat persaudaraan, persahabatan dan perpaduan yang selama ini menjadi amalan hidup kita, terus diperkukuhkan dan dimantapkan lagi sesuai dengan semangat
Malaysia Madani, menerusi perayaan ini.

“Sepanjang tempoh sebulan ini, pastinya banyak sambutan Kaamatan yang akan
diadakan dalam pelbagai peringkat di seluruh negeri. Oleh itu, saya mengajak semua
pihak untuk sama-sama menyertai dan menjayakan sambutan Tadau Kamaatan di
peringkat daerah, kampung mahu pun organisasi masing-masing.

“Saya berharap semangat perayaan Pesta Kaamatan ini akan terus kita hayati demi
kestabilan, keamanan, persahabatan serta kemakmuran negeri dan rakyat pada
keseluruhannya,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji juga meminta agar kumpulan etnik dan subetnik di seluruh Sabah
meningkatkan usaha mereka untuk mempromosikan dan mempamerkan budaya
masing-masing.

“Berbanggalah dengan identiti budaya kita yang diwarisi sejak turun-temurun. Kekalkan
kelangsungan bukan sahaja identiti budaya malah bahasa etnik masing-masing untuk
anak bangsa akan datang.

“Saya berasa gembira kerana ada kesedaran oleh banyak kumpulan etnik untuk menyokong usaha kerajaan dalam mengekalkan tradisi etnik dan pada masa yang sama
mempromosikan kepelbagaian budaya yang amat kita banggakan di Sabah,” katanya.

Beliau turut berasa gembira kerana rakyat telah menyokong usaha kerajaan dalam
setiap aspek pembangunan di negeri ini.

“Saya menyeru rakyat untuk terus bersama kami sebagai rakan kongsi dalam usaha ini
dan bersama kerajaan mengekalkan kestabilan politik serta kemajuan ekonomi demi
kelancaran pembangunan di negeri ini,” katanya.-pr/BNN