BEAUFORT; Parti Bersatu Sabah (PBS) akan pastikan parti terus menjadi pilihan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan, kata Naib Presiden parti Datuk Haji Ruslan Muharam.
“Kita akan terus bekerja berkali lipat ganda untuk memastikan PBS terus menjadi pilihan di DUN Lumadan,” tegas beliau yang juga Ketua Bahagian PBS Lumadan.
Berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Bahagian PBS Lumadan ke-38 di Dewan Datuk Seri Panglima DUN Banir di sini kelmarin, Haji Ruslan berkata, jumlah keseluruhan yang hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-38 ini ialah seramai 1,881 orang.
“Ini merupakan satu jumlah yang besar. Manakala empat lagi Bahagian PBS yang turut mengadakan AGM bersama perwakilan masing-masing iaitu PBS Bahagian Membakut seramai 120 perwakilan, PBS Klias 105 perwakilan, PBS Sindumin 88 perwakilan dan PBS Bongawan 130 perwakilan”, katanya.
Zahirnya, tambahnya, kehadiran perwakilan beserta pemerhati dari PBS Lumadan seramai 1,438 orang membuktikan PBS semakin menjadi pilihan penduduk Lumadan.
Beliau juga menyeru agar setiap Bahagian menambahkan jumlah keahlian agar kedudukan PBS semakin kukuh di Lumadan, Beaufort, Bongawan, Membakut, Klias dan Sindumin.
Mengajak golongan belia untuk turut menyertai PBS, beliau juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Bahagian Hal Ehwal Islam) berkata, golongan belia merupakan tulang belakang parti dan merekalah yang akan menerajui parti pada masa hadapan.
“PBS adalah sebuah parti berbilang kaum yang semakin diterima oleh semua termasuk masyarakat Islam dan sebagai buktinya, kawasan Dewan Undangan (DUN) Lumadan  penduduk majoritinya ialah Muslim,” kata Haji Ruslan yang juga ADUN Lumadan.
Haji Ruslan berkata, setelah PBS menerajui kawasan Lumadan, beberapa isu telah berjaya diatasi iaitu masalah bekalan air paip bersih yang kini sudah 95 peratus dapat dibekalkan ke kampung-kampung manakala yang lain dalam proses.
Selain itu, masalah sistem perparitan pula berjaya diatasi dalam kawasan Lumadan di mana isu banjir yang melanda kebanyakan kampung sehingga enam bulan lamanya kini selesai.
Antara lain ialah, pembinaan menara telekomunikasi di tiga kampung yang melibatkan Kampung Karangan, Kg. Kababang dan Kg. Bangkalalak telah bermula dan akan beroperasi sepenuhnya pada Jun ini.
Haji Ruslan turut mengajak semua ahli PBS yang hadir untuk terus berjuang untuk parti di dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Hadir sama ialah Naib Presiden PBS, Datuk Johnny Mositun; Datin Masliana Ugau, Ketua Wanita; Ketua EXCO Pergerakan Pemuda; Christoper Mandut; Ahli- ahli Majlis Tertinggi yang juga Ketua Bahagian iaitu John Masabal, Fredolin Totin Bangon, Azmi Hj Ahmad, Exco-exco Pemuda dan Wanita.
Haji Ruslan juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua perwakilan yang hadir serta jawatankuasa penganjur AGM pada kali ini. -pr/BNN