TAMBUNAN: Program Jerayawara Kasih Keluarga Madani: Keluarga@Kerja merupakan antara usaha kerajaan untuk membantu golongan wanita lebih peka dengan penjagaan kesihatan diri, selain dalam aspek institusi kekeluargaan, kata isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag.

Katanya, program itu pada tahun ini merupakan kesinambungan kepada siri penjelajahan kelima setelah dilancarkan di Sulaman, Tuaran pada 3 Mac 2022, bagi menyantuni kumpulan sasar di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.

Beliau berkata, Program Jerayawara itu akan menjelajah ke seluruh negeri mengikut kawasan DUN yang telah dipilih bagi memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini dalam
memfokuskan pembangunan dan pengukuhan institusi kekeluargaan serta meningkatkan pengetahuan mengenai kesihatan reproduktif wanita.
“Pada tahun ini, program ini dijalankan serentak dengan kempen kesedaran kanser
reproduktif wanita (WCaRe) yang dijalankan oleh pihak Lembaga Penduduk dan
Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)”.
“LPPKN Sabah telah menjalin kerjasama yang amat utuh dengan Pertubuhan Muafakat
Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat,Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) bagi
memperluaskan lagi perkhidmatan kekeluargaan dan kesihatan reproduktif ke seluruh
Sabah dengan penganjuran program ini”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jerayawara Kasih Keluarga Madani: Keluarga@Kerja bagi kawasan DUN N39 Tambunan sempena Sambutan Hari Ibu Bapa dan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) Peringkat Negeri tahun 2023 di Dewan Terbuka Pisompuruan Square, hari ini.

Juliah yang juga Yang Di Pertua MUTIARA GRS berkata, program itu juga akan menjadi
medan kepada pihak berkaitan khususnya LPPKN untuk mengetahui secara dekat masalah atau keperluan masyarakat di peringkat akar umbi, khususnya golongan wanita di luar bandar.

 

Menurutnya pelbagai perkhidmatan disediakan dalam program itu, termasuklah program pendidikan kekeluargaan, Perkhidmatan Keluarga Bergerak (PKB) LPPKN bagi memberikan khidmat nasihat klinikal, saringan pemeriksaan kesihatan, dan pendaftaran saringan ujian mamogram secara percuma kepada wanita yang layak mengikut kriteria yang telah ditetapkan.

Katanya, pelaksanaan Program Jerayawara Kasih Keluarga Madani adalah platform terbaik kepada peserta untuk mendapat manfaat melalui sesi perkongsian yang telah disampaikan oleh pegawai-pegawai yang bertauliah dan pakar dalam aspek kekeluargaan dan kesihatan.

“Saya berharap lebih ramai wanita khususnya ibu-ibu, suri rumah mahu pun yang bekerja meluangkan masa hadir dalam program yang amat bermafaat ini, dan bersama- sama melindungi, mempertahan dan memperkasa institusi keluarga sebagai benteng dan tunjang kestabilan sosial”, tegasnya.-pr/BNN