KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan, dengan jayanya telah melakukan pembedahan otak ke atas seorang pesakit dalam keadaan sedar. Pembedahan yang dikenali sebagai ‘Awake Craniotomy’ itu telah selamat dijalankan pada 11 Julai 2023 di bilik bedah HQE II.

Pembedahan yang kedua kali dijalankan di negeri Sabah turut dilaksanakan oleh Pakar Perunding Neurosurgeri dan Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Professor Dato Dr Jafri Malin Abdullah, bersama Pakar Neurosurgeri HQE II iaitu Mr. (Dr.) Mohd Sofan bin Zenian dan Mr. (Dr.) Hezry bin Abu Hasan, beserta dengan Pakar Bius Otak dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Dr. Yeap Boon Tat.

Pembedahan otak Awake Craniotomy telah lama diperkenalkan sejak awal tahun 2000 lagi. Pembedahan ini adalah yang kali kedua dijalankan di negeri Sabah, dan khususnya di HQ 1 Kali pertama pembedahan ini dijalankan di negeri Sabah adalah pada 11 Januari 2023 dengan kerjasama doktor-doktor pakar dari pihak HQE II, UMS dan Hospital Sungai Buloh.

Pesakit merupakan seorang lelaki berusia 40 tahun yang berasal dari daerah Sandakan.

Beliau telah disahkan menghidap penyakit tumor otak di bahagian kanan otak (Right Fronto- Temporo-Parietal Tumor) setelah didiagnosis di Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan.

Selepas selesai pembedahan, pesakit berada dalam keadaan sihat dan mampu mengerakkan kaki dan tangan tanpa sebarang komplikasi neurologi seawal satu hari selepas pembedahan.

Awake craniotomy adalah teknik pembedahan dan pembiusan yang penting untuk memastikan pesakit tidak mengalami kehilangan fungsi otak semasa proses pembedahan ketumbuhan otak dilakukan. Fungsi otak seperti kebolehan menggerakkan kaki dan tangan dan kebolehan bertutur, dapat dipelihara dengan melakukan pembedahan di mana pesakit berada dalam keadaan sedar dan fungsi otak pesakit itu akan diuji sewaktu pembedahan dilakukan.

Jika didapati fungsi otak pesakit berkurangan atau hilang sewaktu proses pembuangan ketumbuhan otak itu dijalankan, bahagian otak itu akan dielakkan daripada dicederakan semasa pembedahan berkenaan.

Selain daripada itu, pemantauan keadaan fungsi otak pesakit ditingkatkan lagi dengan menggunakan beberapa alatan perubatan Intraoperative Neurophysiological Monitoring (IONM) yang berteknologi tinggi seperti Motor Evoked Potential (MEP), Somatosensory Evoked Potential (SSEP) dan Electromyography (EMG) yang telah terdapat di Sabah.

Penggunaan teknologi Image Guided Surgery’ (IGS) untuk mengenalpasti kedudukan barah di dalam otak secara tepat, dan juga mengenalpasti kedudukan bahagian-bahagian otak yang penting dan perlu dielakkan daripada tercedera sewaktu pembedahan turut menjayakan lagi pembedahan ini.

Pembiusan untuk awake craniotomy ini telah menggunakan ubat bius yang diberikan melalui mesin khas dipanggil Target controlled infusion (TCI) melalui kaedah Asleep-Awake-Asleep Pesakit yang menerima ubat bius dalam keadaan sedar ini boleh berkomunikasi dan berinteraksi dengan doktor sepanjang tempoh pembedahan dijalankan.

Jabatan ini ingin memaklumkan bahawa kejayaan ini adalah hasil daripada persiapan dan perbincangan rapi pihak HQE II bersama-sama dengan Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan, pihak HUSM dan pihak UMS yang telah bermula sejak April 2023 lagi.

Oleh sebab pembedahan kali ini agak rumit, pihak HQE II telah menjemput Professor Dato Dr Jafri Malin dari HUSM, untuk bersama-sama menjayakannya. Jabatan ini juga telah mengambil inisiatif dengan memaparkan pembedahan secara “live streaming” kepada hospital di daerah Sandakan, Tawau dan Lahad Datu sebagai satu bentuk wadah pembelajaran dan pendidikan dengan doktor-doktor yang lain setelah mendapat kebenaran dari pesakit.

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pembedahan ini terutamanya kepada Jabatan Neurosurgeri HQE II, Jabatan Anestesiologi HQE II, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Universiti Sains Malaysia (USM), semua pakar dan pegawai perubatan, serta kumpulan sokongan yang telah komited dalam menjayakan pembedahan ini.

Semoga kejayaan cemerlang dan jalinan kerjaSSama dari pelbagai pihak seperti ini dapat diteruskan dan diperkembangkan lagi pada masa akan datang demi meningkatkan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik kepada rakyat di negeri Sabah.-pr/BNN