KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor merasmikan restoran McDonald’s Pandu-Lalu Jalan Sulaman 2 pada Jumaat.

Beliau turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU)
diantara McDonald’s Malaysia dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) untuk
membangunkan Hab Pembekalan Makanan Bersepadu yang lengkap untuk syarikat
khidmat segera itu di Malaysia Timur.

MOU itu merupakan jalinan kerjasama yang akan menyaksikan pemerolehan empat
ekar tanah di kawasan milik KKIP bagi pembinaan hab pembekalan makanan itu.

Hab ini akan melibatkan tiga pembekal utama McDonald’s Malaysia iaitu Bimbo QSR,
Tyson Foods dan HAVI Logistics yang akan mendirikan kilang, gudang dan pusat
penghantaran.

Menandatangani MOU itu bagi pihak McDonald’s ialah Pengarah Urusan dan Rakan
Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Dato’ Azmir Jaafar, KKIP diwakili oleh Ketua
Pegawai Eksekutif Kumpulan, Encik Laurence Kimkuan, Bimbo QSR diwakili oleh Naib
Presiden Transformasi Global, Natasha Galavotti, Tyson Foods diwakili oleh Naib
Presiden, Unit Perniagaan Malaysia, Victor Sim dan HAVI Logistics Malaysia diwakili
oleh Timbalan Pengurus Besarnya, Dominic Alexander Lopez.

Hajiji menyambut baik rancangan McDonald’s mewujudkan Hab Pembekalan Makanan
Bersepadu di KKIP dan membuka lebih banyak restorannya di Sabah kerana ia bukan
sahaja dapat membantu merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat, malah turut
mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

“Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan usahasama antara syarikat-syarikat franchise dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri bagi menerokai potensi perniagaan
yang akan memberi manfaat kepada negeri ini”, katanya.

Dalam majlis sama, McDonald’s Malaysia turut menyerahkan pembayaran zakat
perniagaan sebanyak RM100,000 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk
diagihkan kepada golongan asnaf di Sabah.

 

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE), Encik Phoong Jin Zhe yang juga Pengerusi KKIP, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip.-pr/BNN