KOTA KINABALU: Yong Yit Jee, Ahli Majlis Tertinggi Parti Maju Sabah (SAPP) merangkap Naib Pengerusi Pemuda berkata bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang tepat dan berdasarkan fakta harus dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran di bawah subjek Sejarah.
Yong mengalu-alukan keputusan kerajaan negeri Sabah yang diterajui GRS untuk menyambut Hari S bah secara rasmi pada 31 Ogos ini dan gembira kerana perjuangan SAPP, Sabah STAR dan semua pejuang Hari Sabah yang bertahun-tahun akhirnya telah membuahkan satu langkah ke hadapan yang positif.
“Adalah penting bagi pelajar-pelajar dan orang muda, pemimpin masa depan dan tonggak negara untuk memahami MA63 yang tepat dan berfakta. Sebagai contoh, ramai orang termasuk orang Sabah tidak mengetahui sejarah sebenar mengenai pembentukan Malaysia. Saya percaya semua pelajar, termasuk saya sendiri, telah dan masih diajar bahawa 31 Ogos 1957 adalah Hari Kemerdekaan Malaysia.”
“Ini tidak benar sama sekali kerana Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Sarawak mencapai kemerdekaan pada 22 Julai 1963, manakala Sabah memperoleh status pemerintahan sendiri pada 31 Ogos 1963. Malaysia hanya ditubuhkan pada 16 September 1963.”
“Sebagai rakyat Sabah, saya menyambut Hari Sabah pada 31 Ogos (ke-60 tahun ini) dan Hari Malaysia pada 16 September (ke-66 tahun ini).”
“Bagaimanapun, pendidikan masih di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Jika Kerajaan Persekutuan enggan memasukkan MA63 ke dalam sukatan pelajaran, mungkin kerajaan Sabah di bawah pimpinan GRS boleh menerbitkan sebuah buku yang rasmi mengenai MA63 yang benar dan tepat dalam pelbagai bahasa untuk orang ramai.”-pr/BNN