KENINGAU: Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) perlu turut sama menerokai kerjasama dalam bidang inovasi pendidikan dengan Kerajaan Negeri seiring
dengan perkembangan pendidikan tanpa sempadan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri
Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, untuk tujuan itu pelbagai inisiatif telah diusahakan oleh pihak Kerajaan Negeri
termasuk mewujudkan Sabah Creative Economy and innovation Centre (SCENIC).

“Ia merupakan satu peluang besar untuk IPDAS menerokai ilmu pendigitalan yang
digabungkan dengan ilmu teras dalam melahirkan anak bangsa yang berketrampilan dan memenuhi keperluan hari ini”, katanya pada Majlis Istiadat Konvokesyen IPDAS Kali Ke-17 di Dewan Tun Sakaran institut itu pada Khamis.
Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap pembangunan pendidikan
anak b

angsa dan telah terjemahkan Inisiatif Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat sebagai salah satu Hala Tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau berkata, penekanan terhadap pembangunan modal insan dititikberatkan ke arah
mewujudkan rakyat yang sihat, berjati diri, berilmu pengetahuan, berinovasi dan berintegriti.

“Ini juga selaras dengan matlamat Gagasan Malaysia Madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, ke arah membentuk sebuah negara yang maju, makmur, bertamadun tinggi, aman dan sentosa”, tegasnya.

Hajiji berkata, bagi menyokong institusi Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT), Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif menyediakan Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) sebanyak RM2,000 untuk mengurangkan bebanan keluarga yang tidak berkemampuan membiayai kos pendidikan.

Menurutnya, BUDI merupakan satu solusi dalam memastikan tiada diskriminasi bagi mana-mana golongan terhadap akses kepada pendidikan yang berkualiti, khususnya golongan yang kurang berkemampuan.

 

Malah katanya, Kerajaan Negeri turut melahirkan inisiatif yang tidak hanya memfokuskan pemberian bantuan kewangan, bahkan turut menyediakan pendekatan yang berbeza bertujuan memaksima hasil usaha kerajaan bagi membantu setiap lapisan masyarakat dalam pembangunan pendidikan.

“Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) mensasarkan kelompok mahasiswa kurang mampu dari golongan e-kasih yang sedang menyambung pengajian di Institut Pengajian Tinggi melalui peruntukan sebanyak RM2 juta bagi sasaran pemberian 1000 unit komputer riba”, tambahnya.

Katanya, Kerajaan Negeri melalui kerjasama agensi kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) telah membangunkan Program Felo Belia yang bertujuan pembinaan
potensi diri, keintelektualan dan kecekalan belia dan beliawanis Sabah dengan menempatkan mereka di Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang terpilih untuk diberi
pendedahan tentang alam kerjaya dan cabaran sebenar dalam realiti pekerjaan.

Hajiji berharap para graduan dan ibu bapa mengambil peluang terhadap dasar-dasar dan perancangan yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri, agar ianya menjadi nadi penggerak mentransformasikan rakyat dari seluruh pelosok Sabah menjadi sebuah masyarakat yang progresif, maju dan sejahtera.

Beliau turut menghargai komitmen Kerajaan Persekutuan yang sentiasa berusaha membantu rakyat Sabah melalui pelbagai peruntukan pembangunan yang berterusan dalam Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK12) termasuk meluluskan projek pembangunan IPDAS Keningau Fasa Dua dengan peruntukan sebanyak RM60 juta.

“Saya juga berharap agar pihak Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pembangunan IPDAS Kampus Kudat Fasa Dua melalui peruntukan RMK13 supaya ia turut memanfaatkan masyarakat sekitar seterusnya memenuhi agenda pendidikan dan peluang pekerjaan”, tambahnya.

Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui IPDAS dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah, agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri, swasta dan beberapa buah badan bukan kerajaan (NGOs)
sentiasa berganding bahu dalam memperkasakan perkembangan syiar Islam di bumi
Sabah.-pr/BNN