KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) perlu mewujudkan persekitaran
pendidikan tinggi yang mampu menjadi pusat ilmu unggul dan menghasilkan graduan berdaya saing dan berinovasi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir untuk negara dan antarabangsa, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya dalam konteks pendidikan, hala tuju Rancangan Malaysia Ke-12 telah menggariskan tumpuan kepada pembangunan bakat masa hadapan iaitu peningkatan kualiti pendidikan bagi memastikan pelajar yang dihasilkan memenuhi standard yang diperlukan terutamanya oleh industri.

Sebab itu katanya, pihak institusi pengajian tinggi termasuk UMS digalakkan untuk memperkukuh kerjasama dengan pemain industri dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi.

“Kerajaan negeri yang mengamalkan mesra pelabur amat memerlukan graduan yang
berpengetahuan dan berkemahiran untuk memenuhi permintaan pihak industri. Saya
berharap UMS akan menjadi universiti yang mampu mengeluarkan graduan yang
tersedia masa hadapan”, katanya pada Majlis Ikrar dan Aku Janji sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2023/2024 Kali Ke-29 UMS di Dewan Canselor universiti itu pada Selasa.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri terus komited dan sentiasa memberi kerjasama kepada
UMS dalam membantu usaha ke arah kemajuan dan peningkatan tahap pendidikan tinggi negara, sesuai dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan kepada sektor perindustrian, pertanian dan pelancongan sebagai teras utama dalam memulihkan semula ekonomi, termasuk pembangunan modal insan.

Katanya, Kerajaan Negeri juga sentiasa komited untuk memperkasa pembangunan
pendidikan dan infrastrukturnya dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti kerana dengan pendidikan yang baik berupaya mengubah kualiti hidup rakyat yang akhirnya menyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan negara khususnya negeri Sabah.

“Kita tidak mahu ada yang terpinggir daripada menerima pendidikan di negeri ini. Justeru beberapa inisiatif telah diambil oleh Kerajaan Negeri dalam membantu anak- anak Sabah melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi”, tegasnya. Hajiji berkata,

Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan Majlis Perundingan Pelajar Sabah bagi memberi ruang bakal-bakal pemimpin untuk menyampaikan pandangan, idea dan aspirasi anak muda Sabah dalam memperkasakan peranan belia di negeri ini. Selain itu katanya, penubuhan Sekretariat Mahasiswa Sabah (SEMESTA) yang menjadi badan penghubung untuk mendengar suara mahasiswa Sabah kepada
Kerajaan Negeri serta menjadi badan perantara dalam menyampaikan informasi￾informasi berkenaan dengan dasar-dasar Kerajaan Negeri Sabah kepada mahasiswa
Sabah.

Beliau juga mahu melihat UMS sentiasa dekat di hati masyarakat melalui inisiatif universiti untuk masyarakat (University for Society) yang dirangka untuk
menggalakkan pemindahan ilmu berkualiti berasaskan kesarjanaan yang dijana di
universiti awam kepada komuniti berkeperluan dengan bermatlamatkan kepada
kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

“Peranan universiti dalam membantu masyarakat amatlah signifikan. Ahli akademik
dan penyelidik, serta para pelajar perlu turun padang mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan seterusnya membantu memberi solusi yang
sewajarnya”, katanya.

Hajiji yang juga Pro-Canselor UMS amat bangga dengan pencapaian semasa yang
ditunjukkan oleh UMS.

Sejak kewujudannya, UMS telah membantu menjana transformasi pembangunan di negeri ini dan kini merupakan salah sebuah universiti terkemuka di negara ini yang sentiasa menjadi pusat rujukan terutamanya di Sabah.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor kerana dilantik semula sebagai Naib Canselor UMS. Dr. Kasim merupakan anak tempatan yang berpengalaman, lama berkhidmat dengan UMS dan merupakan antara ahli akademik asal Sabah yang terkenal di negara ini. Hajiji juga berharap kehadiran pelajar baru ke UMS bakal menghasilkan kejayaan yang cemerlang serta sejarah kehidupan yang membanggakan sepanjang tempoh pengajian.- pr/BNN