KOTA KINABALU: Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM14 juta bagi tujuan pembangunan budaya di negeri Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, daripada jumlah tersebut sebanyak RM4.5 juta diperuntukkan oleh Kerajaan
Persekutuan melalui Rancangan Malaysia Ke-12, manakala RM9.5 juta lagi diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah
(LKNS).

Beliau berkata, Kerajaan Negeri telah menetapkan tujuh keutamaan dalam membangunkan bidang kebudayaan di Sabah yang telah dimulakan sejak 2021 hingga 2030.

“Tujuh keutamaan itu ialah pendigitalan seni budaya (eCulture), pelancongan budaya
bersepadu, pemuliharaan budaya, pengukuhan hubungan etnik, penyelidikan dan dokumentasi budaya, pengembangan seni budaya dan perlindungan harta intelek”.

Tujuh keutamaan itu adalah sejajar dengan inisiatif Sabah Maju Jaya dalam pembangunan budaya pelbagai etnik di negeri ini, dan peranan tersebut dipertanggungjawabkan kepada LKNS”.

“Menerusi tujuh keutamaan ini, kita mahu semua badan kebudayaan dan komuniti
membangun bersama, menghayati dan menjiwai nilai kebudayaan yang diwarisi,
seterusnya diwariskan kepada generasi akan datang”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan
Ke-38 anjuran Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Ahad. Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II/Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.

Katanya, FCAS pernah menganjurkan Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan 12 tahun
lalu dan tahun ini giliran Sabah menjadi tuan rumah semula Beliau berkata, Kerajaan Negeri menyokong dan mengalu-alukan penganjuran aktiviti
kebudayaan etnik negeri ini, termasuk usaha FCAS menganjurkan Pesta Kebudayaan
Cina Kebangsaan.

Menurutnya, pelbagai aktiviti diadakan sepanjang tiga hari pesta itu termasuklah persembahan kebudayaan, pesta makanan, pameran kebudayaan dan kraftangan, perkampungan budaya, perarakan tanglung dan kereta berhias.

Katanya, perarakan Obor turut diadakan di 12 station seluruh negeri Sabah dan berjaya
sampai ke Pulau Mataking dan Gunung Kinabalu yang merupakan tempat tarikan
pelancong, yang akan membantu mempromosikan industri pelancongan negeri ini.

Hajiji berharap pesta itu berjaya menyebarkan kesedaran dikalangan generasi muda
berkaitan warisan dan kebudayaan Tionghua dan juga membantu mengeratkan hubungan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Kita juga berharap pesta ini dapat mempromosikan kepelbagaian budaya Tionghua
bukan sahaja kepada rakyat tempatan malah juga pelancong dari luar negara”, tegasnya.-pr/BNN