KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri hari ini mengumumkan 5 inisiatif penting untuk memastikan kejayaan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dalam persada pendidikan tinggi dan melahirkan belia yang terjamin masa depan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata inisiatif pertama ialah
Kerajaan Negeri melalui Innoprise Corporation Sdn. Bhd. (ICSB) akan memberikan
bantuan bulanan sebanyak RM500,000 bersamaan RM 6 juta pada tahun 2024, seperti
yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2023.
Katanya, inisiatif kedua ialah Kerajaan Negeri melalui ICSB bersetuju memberikan
Geran Khas sebanyak RM10 juta untuk kos operasi dan utiliti KTYS bagi tahun 2024.
Menurutnya, inisiatif ketiga ialah Kerajaan Negeri melalui Kementerian Sains Teknologi
dan Inovasi (KSTI) akan memberi peruntukan khas sebanyak RM3 juta setahun kepada
KTYS untuk menjalankan kursus-kursus jangka pendekyang bersesuaian dengan
keperluan kerajaan negeri.
“Sebagai permulaan kursus tersebut ialah scuba diving, bekam dan refleksologi,
teknologi drone, bahasa Korea dan Mandarin yang akan dilaksanakan pada tahun
2024”, katanya pada Istiadat Konvokesyen KTSY Ke-26 di Sabah International
Convention Centre (SICC) pada Selasa.
Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji
Masidi Manjun.
Katanya, inisiatif keempat ialah Kerajaan Negeri melalui ICSB bersetuju memberi bonus
tahunan kepada kakitangan KTYS sebanyak RM600 seorang dan pemberian ini akan
dibayar bersama gaji pada bulan Disember 2023.
Menurutnya, inisiatif lain ialah Kerajaan Negeri akan membina sebuah dewan
serbaguna di Kampus Induk KTYS, Sembulan dengan kos sebanyak RM450,000.
“Semoga dengan inisiatif-inisiatif ini, KTYS mampu melahirkan graduan yang memenuhi
permintaan pasaran industri masa kini. Pendekatan digital dan teknologi perlu
diterapkan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran demi meningkatkan kefahaman,
kemahiran serta pengaplikasian ilmu dalam kehidupan sebenar”.
“Pemerkasaan sahsiah dan ilmu juga perlu diterapkan kepada generasi terkini agar
seimbang keduanya. Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan kepada
pembangunan modal insan khususnya dalam kalangan belia”, tegasnya.
Hajiji berkata, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) yang kini menerima pelaburan
asing berimpak tinggi memberi peluang pekerjaan kepada graduan yang mempunyai
kemahiran teknikal termasuk dari KTYS untuk bekerja dalam sektor pembuatan dan
perindustrian.
Malah katanya, usaha Kerajaan Negeri untuk menambah dua lagi taman perindustrian
di Sabah amat memerlukan modal insan yang berkemahiran dan berpengetahuan.
Katanya, Kerajaan Negeri juga akan terus melabur dalam infrastruktur pendidikan,
menyediakan biasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar yang layak, serta
memupuk perkongsian antara institusi pendidikan dan industri.
“Semua inisiatif kerajaan ini untuk memastikan rakyat Sabah berpeluang meneruskan
persekolahan hingga ke tahap lebih tinggi, selain membantu mengurangkan beban ibu
bapa dan keluarga pelajar daripada golongan B40. Kita tidak mahu ada yang terpinggir
daripada menerima pendidikan di negeri ini”, tegasnya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri juga telah menyediakan “Human Capital Development Blue Print for Sabah” (2021- 2035) bagi memastikan sukatan pelajaran, ilmu kemahiran
dan kepakaran belia serta modal insan, sentiasa relevan, selain menjadi garis panduan
bagi program pembangunan modal insan secara holistik di negeri ini.
Hajiji percaya dengan bantuan dan peruntukan yang diberikan akan memudahkan
laluan dan perjalanan para graduan dalam mendapatkan pendidikan formal dan kemahiran serta akan melahirkan tenaga-tenaga mahir yang boleh menyumbang semula kepada negeri Sabah dan akan mengurangkan kebergantungan negeri kepada tenaga kerja luar.-pr/BNN