KOTA KINABALU: Keputusan pelabur Dato’ Sri Thomas Hah Tiing Siu menarik diri daripada melabur dalam projek ‘kambing dan pasir silika’ di Sabah hanya akan merugikan rakyat dan negeri ini.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Rubin Balang berkata, ini kerana kedua-dua projek yang dicadangkan itu jika direalisasikan sudah pasti akan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Katanya, pelaburan ini juga akan menguntungkan Sabah darisegi kutipan cukai-cukai, selain membantu merangsang dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri ini.
“Sebenarnya para pelabur termasuk Thomas Haa usah kuathir atau bimbang ke atas isu dan komen-komen pihak tertentu di negeri ini khususnya pihak parti pembangkang yang akan membantah sebarang usaha kerajaan untuk memajukan dan membangunkan negeri ini. Itu adalah kerja parti pembangkang.
“Perlu diingat bahawa negeri Sabah memerlukan pelabur yang berkemampuan untuk melabur di negeri ini, selagi ianya memberi manfaat kepada rakyat dan negeri Sabah”, katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas keputusan seorang ahli perniagaan, Thomas Hah yang mengumumkan menarik balik cadangan pelaburan syarikatnya di Sabah berikutan “kontroversi” berkaitan tanah di Kudat. Pelaburan tersebut melibatkan penternakan kambing dan perlombongan pasir silika di Pulau Balambangan.
Rubin berkata, Sabah dibawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengamalkan dasar mesra pelabur, merupakan yang terbaik untuk memajukan ekonomi negeri.
Menurutnya, dasar mesra pelabur itu telah berjaya menarik banyak pelabur asing dan tempatan untuk melabur di negeri ini terutamanya dalam sektor perindustrian, pembuatan dan pertanian.
“Dasar yang membawa kebaikan kepada rakyat dan negeri ini terutama darisegi peluang pekerjaan untuk penduduk Sabah selain merancakkan pertumbuhan ekonomi seharusnya disokong oleh semua pihak, termasuk parti pembangkang kerana mereka juga akan menerima mafaatnya.
“Tindakan parti pembangkang yang membantah dan membuat tuduhan-tuduhan tidak berasas dan berniat jahat terhadap Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri berhubung urusan tanah dengan para pelabur dan lain-lain hanya akan merugikan kita semua”, tegasnya.
Thomas yang namanya dikaitkan dengan kononnya kontraversi perjanjian tanah Kudat dalam satu kenyataan berkata, “setelah mengambil kira isu dan polemik yang dibangkitkan pihak tertentu, dengan rasa kesal syarikat telah membuat pertimbangan sewajarnya dan memutuskan untuk menarik balik cadangan pelaburan pembangunan untuk sektor pertanian kawasan terbabit”
“Kontroversi yang telah berlaku yang dicetuskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini telah menjejaskan keyakinan rakan pelabur kita,” katanya.
Hah bagaimanapun menegaskan semua permohonan yang dibuat adalah selaras dengan dasar kerajaan negeri bagi memajukan agenda pertanian negeri Sabah untuk meningkatkan keselamatan makanan.
Menurutnya surat rasmi kepada kerajaan negeri bagi memaklumkan keputusan itu akan dikemukakan kemudian.
Hajiji telah menafikan dakwaan salahguna kuasa dalam kelulusan permohonan tanah melibatkan projek itu seperti yang ditumbulkan di Facebook dan mendakwa ia dilakukan untuk mencemarkan nama baiknya.
Hajiji berkata semua permohonan telah melalui prosedur yang ditetapkan melalui mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC) dan mengarahkan siasatan terhadap kebocoran dokumen sulit, yang telah disebarkan.-pr/BNN