PENAMPANG:  Yayasan Bank Rakyat (YBR) meraikan 146 pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di sekitar Penampang bagi membantu tahap pendidikan murid-murid di sana.

YBR di dalam satu majlis yang berlangsung di Sekolah Menengah St Michael Penampang
Sabah telah menyampaikan insentif melibatkan pelajar yang mendapatkan keputusan
cemerlang di dalam peperiksaan dengan objektif bagi membantu meningkatkan akademik
serta memotivasikan mereka untuk lebih berjaya di masa akan datang.

Penyerahan anugerah kepada pelajar-pelajar ini telah disempurnakan oleh Menteri
Pembangunan Usahawan & Koperasi, Yang Berhormat Datuk Ewon Benedick di sini, hari ini.
Majlis ini turut dihadiri oleh Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Pengurus
Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, Ketua Bahagaian Operasi YBR, Mohd mukhti Abd
Rahman serta Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Buat makluman, bantuan ini melibatkan kumpulan pelajar dari kalangan asnaf dan keluarga B40 yang berobjektif menyediakan bantuan kewangan kepada penerima yang layak sebagai permulaan memulakan semester atau menyediakan peralatan pengajian yang diperlukan untuk meneruskan pengajian.

Sementara itu, Ewon berkata, sokongan berterusan yang diberikan oleh YBR dalam membantu anak-anak Sabah amatlah dihargai terutamanya dalam membantu golongan yang kurang bernasib dan yang memerlukan.

“Usaha ini sebegini dapat menarik kepada agensi-agensi bukan berkeuntungan yang lain
untuk sama-sama turut serta dalam meningkatkan mutu pendidikan negara serta menyahut seruan kerajaan dalam mewujudkan sistem pendidikan yang mampan.”

Dalam pada itu, Ewon turut mengumumkan bahawa 4 buah sekolah di daerah Penampang
iaitu Sekolah Menengah St Michael, Sekolah Menengah Kebangsaan Bahang, Sekolah
Menengah Kebangsaan Limbanak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Peter Mojuntin telah dipilih untuk menerima RM20,000 setiap sekolah melalui Program Pecutan SPM bagi bagi membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar-pelajar dari sekolah tersebut bagi persiapan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang akan datang.

Selain itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Sekolah Menengah St Michael kerana
telah menjadi sekolah harian cemerlang di seluruh Sabah dan sabagai pengiktirafan YBR
telah memberikan sebuah smartboard kepada pihak sekolah sebagai kegunaan bagi sesi
pengajaran dan pembelajaran.

Sejak ditubuhkan pada 16 Mei 2007, Yayasan Bank Rakyat (YBR) komited membantu rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan, ahli-ahli Bank Rakyat dan anak-anak mereka dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan. Komitmen ini terbukti oleh skala program penajaan YBR – sehingga 1 Januari 2023, YBR telah menaja lebih daripada 6,543 pelajar dengan jumlah keseluruhan tajaan melebihi RM 180 juta bagi meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi.

YBR berdedikasi meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar melalui strategi yang inovatif, boleh diubah suai dan berasaskan bukti bagi menyiap sediakan mereka supaya dapat berkembang maju dalam pelajaran, kerjaya, dan kehidupan dewasa.

YBR bercita-cita untuk mewujudkan sebuah dunia pembelajaran yang baharu; tempat di mana pelajar dan ibu bapa, guru dan pentadbir, penggubal dasar serta masyarakat diperkasakan untuk mengubah pendidikan ke arah yang lebih baik; tempat di mana sekolah menyediakan pembelajaran berteraskan projek yang lebih rapi, pembelajaran sosial-emosi serta akses kepada teknologi baru; tempat di mana inovasi ialah satu peraturan bukannya pengecualian; tempat di mana pelajar menjadi penuntut ilmu sepanjang hayat di samping membangunkan kemahiran abad ke-21.

Di dalam majlis yang sama Philip Benedict berkata, bantuan insentif yang diberikan kepada
pelajar yang berjaya mendapatkan keputusan cemerlang sedikit sebanyak mampu memberikan peluang kepada mereka untuk menyambung pengajian ke institusi yang dipilih oleh masing-masing dan menjadi pendorong untuk terus menunjukkan prestasi yang
cemerlang di dalam pendidikan.

“Bagi meneruskan usaha menyediakan pendidikan berkualiti usaha guru-guru juga harus
diberi penghargaan kerana mereka telah bertungkus lumus menyediakan modul pembelajaran bagi memberikan pendidikan yang terbaik kepada setiap pelajar dalam
memastikan mereka berjaya serta berbakti kepada bangsa dan negara,” katanya.-pr/BNN