TUARAN:  Dalam sebuah usaha untuk memerangi pencemaran plastik dan mempromosikan masa depan yang lestari, Zero Waste Sabah, dengan sokongan daripada Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan Malaysia, telah berjaya melancarkan sebuah projek pengurangan beg plastik di Pasar Tuaran.

Projek ini menandakan sebuah usaha terhadap model pekeliling dan pengurangan sisa plastik di daerah Tuaran. Projek ini yang telah bermula pada 1 Mac 2023 merangkumi latihan untuk 110 penjaja pasar dalam Gaya Hidup Sisa Sifar, Pengeluaran dan Penggunaan Bertanggungjawab, dan Bandar dan Komuniti Lestari.

Komitmen Zero Waste Sabah terhadap tanggungjawab alam sekitar kelihatan dengan usaha mendorong kerjasama antara Majlis Daerah Tuaran, CT Payung (Syarikat Pengurusan Pasar Ikan Tuaran), dan para penjaja lestari. Hasil daripada mesyuarat tersebut, mereka telah bersetuju untuk mengimplimentasikan sistem penyewaan
baldi yang dicadangkan oleh Zero Waste Sabah yang bermatlamat untuk menghapuskan
penggunaan beg plastik sekali guna secara berperingkat di Pasar Tuaran.

Pendekatan ini menggalakkan pembeli untuk menerima cara membeli-belah yang lebih
mampan. Di bawah sistem baru itu, pelanggan digalakkan membawa beg guna semula
mereka untuk membeli barang runcit dan baldi untuk membeli hasil tangkapan laut.

Jika pembeli terlupa membawa beg/baldi sendiri, mereka boleh menyewa baldi dengan harga RM5 dan beg RM2. Ruth Yap, pengurus projek yang juga pengasas dan pengerusi Zero Waste Sabah menyatakan bahawa “ sudah tiba masanya untuk memimpin rakyat kita
mengubah gaya hidup mereka daripada “budaya pakai buang” kepada “budaya guna
semula”.

Pakar pengurusan sisa lestari telah membuat kesimpulan bahawa kita tidak boleh
bergantung hanya pada kitar semula untuk menyelesaikan masalah penghasilan sampah
melampau yang kian meningkat. Insinerator pula bukan sahaja mahal untuk dioperasi,
malah jika tidak diselenggara dan dipantau dengan ketat, mampu membahayakan kesihatan penduduk di sekitarnya.

Insinerator juga bersaing dengan pusat kitar semula untuk bahan yang sama. Jadi, cara yang lestari dan berwawasan adalah untuk mereka cipta produk dan sistem operasi yang menjana sisa yang paling minimum pada penghujung kitaran hayat produk dan proses mereka. Kita harus menumpukan usaha pada punca penjanaan sampah; hentikan penjanaannya sebelum memikirkan cara untuk menguruskan hasil penjanaan sampah.”

Salah satu ciri luar biasa projek ini ialah deposit baldi yang boleh dikembalikan. Pelanggan yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan baldi yang disediakan oleh CT Payung
boleh memulangkannya selepas menggunakannya pada hari lain dan menerima bayaran
balik deposit mereka sebanyak RM4. RM1 akan digunakan untuk menguruskan baldi dan
memastikan stok baldi sentiasa ada di pasar.

Pegawai Daerah Tuan Hadzlan Jablee menyatakan, “ Ini adalah sebuah inisiatif yang baik
untuk alam sekitar. Plastik merupakan sejenis bahan yang amat berguna, tetapi
penggunaannya secara tidak terkawal dan pengurusannya yang tidak bertanggungjawabjuga telah mendatangkan masalah yang tidak boleh dinafikan. Plastik yang terlepas ke dalam alam sekitar boleh mengambil masa selama 500 tahun untuk terurai dan plastik akan pecah dan lerai menjadi mikroplastik. Mikroplastik pula mampu memasuki rantai makanan manusia”.

Majlis Daerah Tuaran juga telah mengambil langkah proaktif untuk menyokong inisiatif ini dengan mengusahakan penggubalan dasar polisi menyekat pengedaran beg plastik di Pasar Tuaran pada hari-hari tertentu. Mengenai Zero Waste Sabah: Zero Waste Sabah adalah sebuah organisasi bukan bersifat keuntungan yang berdedikasi untuk mempromosikan kelestarian, mengurangkan sisa dan memelihara alam sekitar di Sabah, Malaysia.

Dengan visi untuk membentuk masa depan yang bebas daripada sampah dan pembaziran, organisasi ini bekerjasama dengan komuniti, perniagaan dan badan kerajaan untuk melaksanakan penyelesaian praktikal dan memberi  inspirasi kepada perubahan positif.

Mengenai Yayasan Hasanah: Yayasan Hasanah (“Hasanah”) merupakan sebuah yayasan
berasaskan impak di bawah Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”), dana kekayaan
berdaulat Malaysia. Hasanah lahir sebagai sebuah yayasan penganugerahan geran bebas
pada 1 Julai 2015; sebuah kesinambungan kepada usaha Tanggungjawab Korporat (CR)
yang sebelumnya dipacu oleh Khazanah untuk sembilan tahun.

Sebagai organisasi penganugerahan geran, Hasanah menjangkau lebih daripada wang ringgit untuk memudahkan ekosistem transformasi, bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, menanamkan semangat advokasi dan membina kemampuan dalam lima bidang tumpuan utamanya: Pendidikan; Pembangunan Komuniti; Alam Sekitar; Kesenian & Ruang Awam; dan Pengetahuan.

Secara kolektif dan kolaboratif, Hasanah berharap dapat menggerakkan anjakan reformasi sosial dan masyarakat untuk rakyat Malaysia, ke arah memajukan Malaysia. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.yayasanhasanah.org.-pr/BNN