KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Sabah kini dalam transformasi untuk menerima pakai sepenuhnya revolusi teknologi hijau dengan projek keluli hijau bernilai RM20 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
Menyaksikan majlis penyerahan Perjanjian Induk atau Heads of Agreement daripada
Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) kepada Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd
(Esteel Sabah) bagi pembekalan 150 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) gas asli
di Menara Kinabalu hari ini, beliau berkata:
“Kerajaan negeri mengalu-alukan pelaburan dalam produk yang memanfaatkan tenaga
boleh baharu, penambahbaikkan pengurusan sisa dan menggalakkan penyelesaian
yang mampan. Melabur dalam produk berasaskan teknologi hijau bukan sahaja sejajar
dengan matlamat kemampanan global tetapi juga memanfaatkan pasaran yang
berkembang pesat untuk penyelesaian mesra alam,” katanya.
Hajiji mengulangi perkara yang dibangkitkannya pada Sidang Kemuncak Global
Ekonomi dan Teknologi China (GCET) di Shenzen, China, pada November lalu bahawa
Sabah telah mengenal pasti beberapa industri utama yang bukan sahaja menjanjikan
pulangan yang besar ke atas pelaburan tetapi juga menyumbang kepada masa hadapan
yang lebih mampan dan makmur.
“Ini menandakan keyakinan Sabah terhadap projek keluli hijau, yang juga adalah antara
pelaburan yang mewakili asas pertumbuhan ekonomi dan strategi pembangunan
negeri.”
Menerusi perjanjian itu, SEC akan membekalkan 100 juta kaki padu standard sehari
(mmscfd) gas asli kepada kilang pembuatan keluli Esteel Sabah dan tambahan 50
mmscfd untuk penjanaan kuasa loji itu dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Sumbangan penting SEC kepada projek ini menyerlahkan peranan pentingnya dalam
mempromosikan inisiatif mampan dan memupuk pembangunan wilayah, tambahnya.
Projek Keluli Hijau adalah projek membabitkan tiga fasa yang memilih gas asli sebagai
agen pengurangan berbanding kok dan arang batu, mengurangkan pelepasan karbon
sebanyak 70 peratus dan menjadikannya rendah karbon , cekap dan mesra alam.
Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd, anak syarikat Green Esteel Pte Ltd Singapura, telah
menandatangani perjanjian pajakan tanah dengan Sabah Oil and Gas Development
Corporation Sdn Bhd (SOGDC) untuk menubuhkan kilang pembuatan di SOGIP di
Sipitang pada November 2022.
Fasa 1 projek ini, dengan anggaran kos sebanyak USD1.93 bilion, dijangka bermula
tahun ini dan siap menjelang 2026. Projek ini dijangka mewujudkan kira-kira 2,795 peluang pekerjaan semasa fasa operasinya.
Mewakili SEC pada majlis penyerahan Perjanjian Induk ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adzmir Abd Rahman, manakala ESTEEL Sabah diwakili Pengarah Urusan Xu Yihang.
Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri, Datuk Phoong Jin Zhe; Pengerusi SEC Datuk Annuar Ayub; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, dan Ketua Pegawai Executive, SOGDC Sdn Bhd, Datuk Harun Ismail.-pr/BNN