KOTA BELUD: Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGP) mampu memberi manfaat
dan limpahan ekonomi kepada semua lapisan masyarakat terutama kepada kira-kira
291,300 penduduk di tiga daerah yang terlibat.
Dengan keluasan 4,750 kilometer persegi, KUGGP yang meliputi daerah Kota Belud,
Kota Marudu dan Ranau, juga membabitkan sebanyak 423 kampung.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kewujudan geopark ini
akan memberi banyak peluang kepada komuniti terutama dalam meningkatkan pendapatan melalui aktiviti pelancongan dan pengekalan budaya di kawasan terbabit.
“Sudah pasti ini memberi manfaat besar seperti peluang perniagaan, pekerjaan dan
pelancongan. Kewujudan geopark ini boleh memberi manfaat kepada pesawah padi di
Kota Belud, pekebun kelapa di Kota Marudu dan pekebun sayur di Kundasang, Ranau.
“Antaranya, adalah melalui pendekatan seperti peluang pemasaran ke seluruh dunia
yang sekali gus meningkatkan jumlah kemasukan pelancong ke kawasan Geopark.
Selain itu, program pendidikan dan kesedaran mengenai amalan kelestarian di kawasan
Geopark, dapat memberi nilai tambah kepada hasil pertanian
“Peningkatan infrastruktur di kawasan Geopark akan membawa kepada pembangunan
jaringan jalan raya dan kemudahan awam, yang memudahkan pengangkutan hasil pertanian, selain peluang perniagaan seperti homestay. Ini mencipta peluang pekerjaan
baharu seperti pemandu pelancong yang akan diisi oleh anak-anak tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pemashyuran Kinabalu UNESCO
GLobal Geopark (KUGGp) dan Pelancaran Sambutan Jubli Intan Taman-Taman Sabah
di Dataran Kota Belud, di sini pada Sabtu.
Ketua Menteri berkata, pengiktirafan sebagai geopark itu juga adalah satu pencapaian
yang baik bagi kerajaan negeri di bawah inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya melalui
Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri serta Taman-Taman
Sabah.
“Jelas sekali, Hala Tuju SMJ adalah selari dengan konsep Geopark dan sudah pasti
kawasan ini bakal menjadi destinasi Geo-pelancongan global pada masa akan datang.
Justeru, tiga tumpuan utama geopark iaitu pemuliharaan sumber alam, pembangunan infrastruktur asas dan penjanaan sosioekonomi rakyat tempatan yang mendiami kawasan ini, perlu diberi penekanan.
“Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2030 juga telah diterima daripada
Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah. Selanjutnya
kita akan bawa untuk dibincangkan di Jemaah Kabinet Negeri Sabah untuk mendapat
persetujuan sekali gus boleh diterima-pakai oleh kerajaan negeri,” katanya.
Sehubungan itu beliau menggesa semua pihak terutama penduduk di persekitaran Geopark ini turut berganding bahu dengan pihak kerajaan memelihara khazanah negeri ini daripada dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Ia kerana pengiktirafan ini adalah satu lagi pencapaian yang amat bermakna kepada
negara khususnya negeri ini dalam usaha memelihara kelestarian alam semula jadi serta pengurusan mampan kawasan geopark yang memiliki nilai antarabangsa.
“Ini adalah khazanah kekayaan negeri Sabah untuk kita pelihara dan gunakan sebagai
modal pembangunan ekonomi khususnya dalam sektor pelancongan untuk mendapat
manfaat yang berterusan daripadanya,” katanya.
Kinabalu geopark telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan
atau UNESCO di Paris pada 24 Mei 2023.-pr/BNN