TUARAN: Kerajaan Negeri menyasarkan mengurangkan bilangan isi rumah miskin
tegar di Sabah diantara 70 hingga 80 peratus dalam tahun ini. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, berdasarkan statistik, Sabah mempunyai lebih 22 ribu Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar.

Beliau berkata, menerusi pelbagai usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan
termasuk Program Menoktahkan Miskin Tegar Di Negeri Sabah, kerajaan yakin dapat
mengurangkan kadar KIR miskin tegar di Sabah.

“Dengan pengembelingan semua pihak melibatkan Kerajaan Negeri dan Persekutuan
menerusi jabatan dan agensinya serta GLC Kerajaan dan sektor swasta yang menyediakan pelbagai jenis bantuan dan inisiatif, insyaallah dalam tahun ini atau mungkin tahun hadapan, kita berharap boleh mengurangkan sekurang-kurangnya 70 hingga 80 peratus rakyat miskin tegar di Sabah”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan
Surat Penyertaan Agensi Pemberi Bantuan Bagi Program Menoktahkan Miskin Tegar
Di Negeri Sabah dan Penyerahan Surat Pelantikan Inisiatif MYSMJA Kerja di Shangri- La Rasa Ria Tuaran pada Khamis.

Katanya, bantuan yang diberikan termasuklah bantuan pekerjaan, pendidikan, kebajikan, perumahan dan keusahawanan. “Kita bagi keutamaan kepada anak-anak dari KIR miskin tegar supaya diambil bekerja di jabatan-jabatan dan agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan dan juga pelabur- pelabur yang datang melabur dan membuka kilang di Sabah diwajibkan untuk mengambil anak-anak dari senarai eKasih miskin tegar bekerja”.

“Kita telah minta kepada mereka supaya memastikan peluang pekerjaan ini dapat dinikmati oleh mereka yang dalam kategori miskin tegar. Nama-nama KIR miskin tegar
ini telah diselaraskan oleh Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) dan dihantar kepada
syarikat-syarikat, jabatan dan agensi kerajaan serta GLC kerajaan, supaya mereka
diberi peluang untuk bekerja”, katanya.

“Itulah sasaran kita. Kalau boleh semua kita bagi peluang, pekerjaan dan juga berniaga disamping bantuan lain terus daripada kerajaan. Kita kena buat ini. Bagi kita inilah antara cara untuk menyelesaikan dan menoktahkan miskin tegar”, katanya.

Menyentuh Majlis Penyerahan Surat Penyertaan Agensi Pemberi Bantuan Bagi Program Menoktahkan Miskin Tegar Di Negeri Sabah dan Penyerahan Surat Pelantikan Inisiatif MYSMJA Kerja, Hajiji berkata, ia merupakan manifestasi kerjasama semua agensi kerajaan khususnya agensi pemberi bantuan dalam penyaluran bantuan kepada golongan miskin tegar, untuk memastikan tahap ekonomi mereka dapat ditingkatkan dan seterusnya mengeluarkan mereka dari golongan miskin tegar.

Pada majlis itu, Hajiji menyerahkan surat penyertaan kepada 27 agensi pemberi
bantuan terdiri daripada 10 buah Kementerian Negeri Sabah, sembilan Agensi Kerajaan Negeri, tujuh Agensi Kerajaan Persekutuan dan satu pemain industri.

Menurut Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), Program Rintis Menoktahkan Miskin Tegar di Daerah Tuaran yang melibatkan sebanyak 974 KIR miskin tegar telah diprofilkan, bagi fasa awal program MySMJ Kerja: Industri, Syarikat SBH Kibing Solar Sdn Bhd telah memberikan komitmen untuk melantik seramai 200 Ketua Ahli Isi Rumah dan ahli-ahli isi rumah untuk bekerja di daerah Kota Kinabalu dan Kudat.

Sebagai permulaan kepada kerjasama ini, setakat ini seramai 71 orang pekerja baharu
dari kalangan miskin tegar telah dilantik oleh SBH Kibing Solar Sdn Bhd dan proses
pelantikan pekerja ini masih berjalan. Selain itu, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) juga komited memberikan pekerjaan kepada 12 golongan miskin tegar untuk ditempatkan di enam sekolah agama negeri di daerah Tuaran.

Untuk bantuan kebajikan, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan
Rakyat (KPMKR) melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) juga telah
memberikan komitmen dalam penyaluran bantuan kebajikan kepada 263 KIR. Bagi bantuan perumahan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) telah memberikan komitmen dalam bantuan perumahan iaitu Program Rumah Mesra SMJ dan Program Baik Pulih Rumah kepada 377 ketua isi rumah. -pr/BNN