TUARAN: Program WeHelp Jabatan Pendidikan Negeri Sabah turut membantu usaha kerajaan negeri menjayakan agenda pembangunan modal insan di negeri ini, kata
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Sudah pasti katanya melalui inisiatif program itu, penyaluran bantuan yang bersasar pasti dapat memberi impak yang positif kepada yang menerima.

“Saya berharap penyerahan bantuan pada hari ini bagi tahun 2024 akan mencapai
objektifnya dan mampu memberi implikasi positif kepada golongan sasaran yang
akhirnya dapat menyumbang ke arah pembangunan dan kemakmuran negeri serta
kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan negeri akan sentiasa menyokong setiap usaha Jabatan Pendidikan Negeri
Sabah dalam melahirkan modal insan yang berilmu, berpendidikan dan berkemahiran
di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis pelancaran Program WeHelp, Penyerahan
Bantuan Cermin Mata, Beg Sekolah Murid dan Cek Cura Jabatan Pendidikan Negeri
Sabah di Dewan Terbuka SMK Badin Tuaran, di sini pada Isnin. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Daya.

Katanya, program seperti ini amat penting untuk membantu pembangunan pendidikan
anak-anak selaras dengan teras kedua Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang merujuk
kepada modal insan dan kesejahteraan rakyat. “Sudah pasti usaha gigih dan iltizam melalui inisiatif Program WeHelp Jabatan Pendidikan Negeri Sabah ini, setiap anak murid di negeri ini dapat dibantu mengikut keperluan masing-masing berdasarkan pemprofilan yang diperolehi melalui tinjauan keperluan murid,” katanya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa mengambil berat dan prihatin
akan keadaan hidup seluruh rakyat, termasuk pendidikan anak-anak Sabah terutama
golongan B40.

Ini kerana katanya, mereka adalah modal insan yang akan menyambung agenda kerajaan menerusi Hala Tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya.

“Sebab itu, kerajaan negeri telah menyediakan beberapa program bantuan pendidikan
murid sekolah antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Tunai Peperiksaan (BAKTI) dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA).

“Selain itu, kerajaan negeri juga telah menambah dana Biasiswa Kerajaan Negeri daripada hanya RM50 juta kepada RM101 juta setahun.

Ini bagi memastikan lebih ramai anak-anak Sabah yang berkelayakan, berpeluang memperoleh biasiswa dalam usaha mereka melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Semua bantuan ini bukan saja telah memberi banyak faedah khususnya dalam mengurangkan beban kewangan golongan miskin dan B40, tetapi juga untuk memastikan tiada anak-anak yang terpinggir daripada mendapat peluang pendidikan di negeri ini,” katanya.

Katanya, langkah ini sejajar dengan inisiatif melahirkan lebih ramai golongan yang
berpendidikan dan pembangunan modal insan sebagaimana yang terkandung di
dalam matlamat Dasar Hala Tuju SMJ berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua penyumbang
bantuan kepada murid-murid di negeri ini seperti Pusat Zakat Sabah; Permodalan
Malaysia Berhad (PNB) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah. -pr/BNN