KOTA KINABALU: Usaha kerajaan dalam membantu pengusaha produk pelancongan terutama kalangan komuniti tempatan dilihat sangat berjaya dalam membantu menggerakkan ekonomi mereka, kata Ketua Exco Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Negeri, Puan Hasrina Wati Datuk Golkhan.
Katanya, produk pelancongan yang berteraskan komunit khususnya eko-pelancongan bukan sahaja memberi keuntungan kepada para pengusaha tetapi secara tidak langsung mempromosikan kearifan lokal kepada para pengunjung dari luar dan dalam negara.
“Kebanyakan lokasi eko-pelancongan di Sabah ini adalah hasil kerjasama para penduduk tempatan di desa atau permukiman, keuntungan mereka selalunya dibahagikan secara perkongsian atau menggunakan kaedah koperasi”.
“Sebagai contoh, usaha komuniti di Kampung Melangkap Tiong pada tahun 2023, tapak eko-pelancongan komuniti tersebut berjaya menjana RM10,000 sebulan. Hasil keuntungan tersebut bukan sahaja dimanfaatkan seramai 119 ahli, malah dengan bantuan kerajaan mereka berjaya menambah lebih banyak fasiliti seperti pondok rehat, dewan, dan ruang sewaan”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hasrina Wati yang juga Ketua Penyelaras Watina Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Usukan berkata, di Kota Belud terutama sekali kawasan Kadamaian, lebih 80 kawasan telah diusahakan sebagai eko-pelancongan dengan minima 100 ahli dan berjaya mencatatkan pendapatan hingga RM500,000 manakala di Ranau terdapat 123 kawasan ‘Tagal’ yang turut dimajukan sebagai eko-pelancongan hingga dicalonkan sebagai penerima anugerah berprestij dalam industri pelancongan, begitu juga di daerah lain seperti Penampang, Tambunan, Lahad Datu, dan Semporna.
Menurutnya, inisiatif kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Budaya, dan Alam Sekitar Sabah dan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sebelum ini seperti pemberian geran bernilai RM10 juta dengan bantuan RM20,000 kepada setiap 507 para pengusaha eko-pelancongan serta strategi pemasaran ke luar negara sangat membantu dalam memastikan usaha komuniti ini terus maju.
Katanya, para pengusaha juga boleh memohon geran padanan yang disediakan oleh kerajaan persekutuan melalui kementerian untuk menjalankan aktiviti kebudayaan dan naik taraf fasiliti.
Menyentuh soal dasar, beliau berharap Kerajaan Negeri dan Persekutuan mulai merangka strategi baharu yang lebih progresif memandangkan Pelan Eko Pelancongan Kebangsaan 2016-2025 sudah hampir tamat.
“Kita harus berbangga dengan pencapaian para pengusaha dan komuniti yang secara puratanya telah mencapai KPI dalam pelan tersebut, terbaru bulan lepas, satu lagi eko pelancongan di Kampung Tengkurus telah dirasmikan, ini adalah perkembangan yang sihat dan wajar diteruskan” ujurnya.
Hasrina Wati berkata, potensi negeri Sabah dalam industri pelancongan sangat tinggi dan Kerajaan Negeri Sabah pada tahun ini, khususnya dalam segmen produk pelancongan berasaskan komuniti telah memperuntukan RM106.14 juta bersama dengan peruntukan bagi tujuan pemetaan budaya sebanyak RM39.15 juta.
“Dengan peruntukan yang besar dalam Bajet Sabah tahun 2024 untuk sektor pelancongan, membuktikan keseriusan Kerajaan Negeri bagi memastikan pembangunan eko-pelancongan dan produk luar bandar semakin aktif”, tegasnya.-pr/BNN