KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) menggesa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis segera menyiasat aduan berhubung salah laku pegawai kanan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Kuala Lumpur.
PPNS telah membuat laporan polis dan SPRM berserta dengan bukti-bukti berlakunya ketirisan dan salah laku oleh pegawai kanan NAFAS dalam melantik kontraktor tanpa mengikut tatakelola sebenar.
Beberapa hari lalu PPNS telah menerima sesalinan tangkap skrin (screen shot) perbualan pegawai kanan NAFAS dengan seseorang berhubung proses lantikan kontraktor gudang dan transport yang tidak mengikut tatakelola.
Dalam tangkap skrin itu Pegawai NAFAS yang dikenali sebagai Encik Hafiz memaklumkan kepada seseorang yang dikenali sebagai “Zali” dengan mengakui dan menyatakan bahawa:
*”bahaya ini kalau SPRM masuk jika depa nak tengok proses lantikan ts top”.*
*”Kami hanya dapat slide sahaja”.*
*”Esok boleh ker siapkan semua dokumen2 BSK & transport utk lantikan gudang ts top as alternatif gudang utk tahun 2022″.*
*”Budak2 aku nak compile semua dokumen 2 yg ada sebelum SPRM masuk”.*
*”masak nnti ni”*
Menerusi perbualan tersebut, ternyata terdapat bukti unsur salah guna kuasa dan penyelewengan telah berlaku yang melibatkan pegawai kanan NAFAS itu.
Justeru, PPNS juga meminta pihak NAFAS menyatakan apa tindakan yang telah diambil terhadap pegawai itu yang telah melakukan salah laku, menyeleweng dan tidak mematuhi tatakelola dalam pemberian kontrak melibatkan kontrak pengangkutan dan sewaan gudang.
Pada awal Januari 2024, Ahli Jemaah Pengarah PPNS telah membuat laporan polis dan SPRM terhadap NAFAS berhubung dakwaan penyelewengan melibatkan pemberian kontrak sewaan gudang, kerja-kerja gudang serta kerja-kerja lain yang berkaitan kepada PPNS pada tahun 2023.
Pada pertengahan tahun 2023, PPNS mendapati pegawai kanan NAFAS secara senyap-senyap dan tanpa memaklumkan kepada PPNS telah melantik sebuah syarikat swasta iaitu *TS Shipping and Forwarding* untuk mengendalikan gudang penyimpanan baja di Sabah pada 2023, *walaupun* PPNS dan NAFAS masih mempunyai kontrak yang sah untuk kerja-kerja tersebut sehingga Disember 2023.
Susulan pelantikan syarikat TS Shipping and Forwarding itu, maka pihak NAFAS telah mulai enggan membayar tunggakan hutang bagi kerja-kerja tersebut di atas sehingga Disember 2023, walaupun pihak PPNS telah mengejar bayaran tersebut, termasuk mengadakan perbincangan antara PPNS dan NAFAS pada 12 Julai 2023, dan dipersetujui oleh Timbalan Pengurus Besar NAFAS, En. Saripol Bahrin bin Karim untuk melunaskan segala hutang NAFAS kepada PPNS berkaitan isu sewaan gudang itu.
AJP PPNS berpendapat, beberapa orang pegawai kanan NAFAS telah melakukan kesalahan,iaitu dengan menyalahgunakan kuasa dan kedudukan mereka dengan melantik sebuah syarikat swasta lain – TS Shipping & Forwarding melakukan kerja-kerja itu walaupun pihak NAFAS masih mempunyai kontrak yang sah bersama PPNS.-pr/BNN