KUDAT: Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) yang juga Ketua Bahagian PBS Matunggong, Datuk Julita Majungki menyeru ahli PBS untuk bersatu dalam pemikiran dan berfokuskan kepada kestabilan politik demi pembangunan negeri ini.
Menegaskan Kerajaan Negeri perlu diatur oleh tangan-tangan pemimpin yang bertanggungjawab, beliau meminta semua agar tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak yang cuba untuk memecahbelahkan ahli parti.
Julita berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan PBS Bahagian Matunggong yang diadakan di Dewan KDCA Matunggong, di Kampung Toporoi kelmarin (26 April), yang dihadiri 600 ahli parti.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Kewangan berkata, kerjasama politik PBS dan STARSABAH, atau dikenali sebagai BERSATU-SOLIDARITI (BEST) bukan untuk menggugat rakan-rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebaliknya ia mengukuhkan peluang GRS untuk terus memerintah.
“Kita akan pastikan bahawa Kerajaan GRS yang diketuai oleh Ketua Menteri akan tetap dan terus memerintah negeri ini,” katanya.
Julita juga mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam selaku perasmi mesyuarat, semua Ketua-ketua Bahagian PBS, Ahli-ahli Majlis Tertinggi PBS, Exco Pemuda dan Ketua Bahagian parti dalam GRS yang terdiri daripada STARSABAH, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang hadir pada mesyuarat kali ini.
Julita juga mengalu-alukan kehadiran Javrin Garim dan Haji Rosley Asantie yang kembali menyokong kerajaan GRS. -pr/BNN