KOTA BELUD: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengulangi
pendirian Kerajaan Negeri yang tidak pernah berganjak dalam usaha menuntut hak
Sabah, termasuk pengembalian 40 peratus hasil Sabah yang dikutip kerajaan
Persekutuan di negeri ini.

Beliau menegaskan dakwaan pembangkang yang menuduhkan kerajaan pimpinannya
tidak bersuara atau berdiam diri dalam isu itu adalah tidak betul, selain bertujuan
memperkecilkan Kerajaan Negeri.

Sebaliknya, beliau berkata tuntutan hak Sabah sentiasa diperjuang dan ditegaskan oleh
Kerajaan Negeri, sama ada dalam Mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) atau
dalam Mesyuarat Kabinet.

“Kalau kita dengar cerita di luar, macam-macam cerita untuk memperkecilkan peranan
kerajaan menuntut hak kita. Sebenarnya mereka tidak tahu dalam Mesyuarat MA63
yang dipengerusikan Perdana Menteri, saya pun duduk di sana”.

“Saya nyatakan dengan tegas apa yang kita tuntut, termasuk 40 peratus hasil cukai
yang mesti dikembalikan kepada Sabah. Itu jelas, jadi jangan cakap mungkin kerajaan
negeri tidak bersuara”.

“Kita bersuara dalam mesyuarat dan ia direkod serta diminitkan, bukan saja semasa
Perdana Menteri Ke-10 (PMX), malah juga sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk
Seri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri”.

“Inilah yang saya bawa (tuntutan hak Sabah), boleh semak dalam minit Mesyuarat
MA63,” katanya pada Majlis Penyerahan Geran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS)
dan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.8
Pintasan di Padang Belia Kampung Pantai Emas pada Ahad.

Hajiji berkata, usaha menuntut hak Sabah memerlukan kata sepakat daripada semua
pihak bagi memudahkan usaha itu dicapai, berbanding ketika ini ada pihak tidak
menyokong usaha diambil kerajaan.

“Dalam menuntut hak ini, kita kena bersatu dan saya berharap sangat kita bersatu
supaya senang, bukan saja untuk menuntut hak kita, tapi memastikan suara kita
dihormati oleh Kerajaan Persekutuan”.

“Kalau kita bergaduh kerana mahu berebut kuasa macam mana? Tentu usaha ini
menjadi lambat untuk berjaya. Jadi, untuk berjaya dan maju saya harap sangat supaya
dalam politik kita bersatu hati,” katanya.

Sementara itu, mengenai isu tanah anak negeri, Hajiji berkata penyukatan tanah dan
penyerahan geran tanah kepada penduduk di seluruh negeri melalui Program
Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) akan diteruskan.

Katanya, program itu yang dimulakan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2011
berjaya menyelesaikan masalah kelewatan penyukatan tanah dan pemberian geran
kepada ribuan penduduk negeri ini.

Beliau bagaimanapun berkata, ada pemimpin pembangkang di negeri ini mengaku
usaha pemberian geran tanah kepada penduduk itu dimulakan ketika mereka
memerintah sebelum ini.
“Program di bawah PANTAS ini telah diwujudkan pada 2011 lagi ketika di bawah
Kerajaan BN, tapi ada setengah pemimpin menganggap program PANTAS ini adalah
inisiatif mereka terutama Parti Warisan”.

“Shafie (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) jika berucap di mana-mana waktu dia Ketua
Menteri dulu, dia cakap itu adalah inisiatif kerajaannya. Mereka kata usaha menolong
rakyat, menyukat tanah rakyat itu dimulakan Warisan”.

“Itu tidak benar, PANTAS dilancarkan pada 2011 lagi dan sudah beribu geran diserah
kepada rakyat, bukan Warisan yang mulakan. Saya cakap ini supaya kita tahu”.

“Program PANTAS ini akan kita teruskan dan saya telah minta Pengarah Jabatan Tanah
dan Ukur supaya ia diteruskan di seluruh Sabah. Mana-mana rakyat menunggu lama
yang belum dapat geran tanah kita mesti sukat untuk pastikan rakyat mendapat hak
mereka,” katanya.

Beliau memberi jaminan kerajaan pimpinannya akan meneruskan usaha melalui PANTAS itu dan banyak lagi geran akan diserahkan kepada rakyat dalam masa
terdekat.-pr/BNN