KOTA KINABALU: Kenyataan Perdana Menteri (PM) X mengenai jumlah peruntukan sebanyak RM16 Bilion yang disalurkan kepada  Kerajaan Sabah dalam ucapan beliau semasa Majlis Penutupan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2024 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA Penampang pada 31/5/2024 telah menimbulkan kekeliruan yang memerlukan penjelasan segera.
Ahli Majlis Tertinggi Party Bersatu Sabah Datuk Fredian Gan dalam satu kenyataan bertanya, adakah ianya hanya kesilapan fakta atau pun tersilap kata.
“Adakah jumlah RM16 Bilion yang diumumkan itu sebenarnya merujuk kepada pengumuman peruntukan sebanyak RM6.2 billion yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sabah bagi tahun 2024?”
“Jika bukan, dimana datangnya RM16 Bilion? Adakah ini merupakan peruntukan lain yang disalurkan kepada kementerian atau jabatan Kerajaan Persekutuan di negeri ini tanpa pengetahuan Kerajaan Sabah?”
Para pemimpin, baik di pihak kerajaan atau pun pembangkang ingin tahu apakah butiran peruntukan RM16 Bilion itu yang dikatakan melebihi dari 40% tuntutan Kerajaan Sabah ke atas hasil yang dikutip dari Sabah. katanya.
“Justru, penjelasan daripada Kerajaan Persekutuan amatlah diperlukan dengan *segera* untuk merungkai kekeliruan ini selain daripada untuk mengelakkan andaian-andaian negatif yang boleh  diputar belitkan oleh pihak-pihak yang ingin meneguk di air yang keruh.”-pr/BNN