KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) menyambut baik dan menyokong ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tiada kenaikan pangkat bagi ketua jabatan jika wujud salah laku penjawat awam di bawahnya dan tidak dilaporkan.

Pengerusi PPNS, Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, tindakan tegas itu amat wajar agar tiada Ketua Jabatan dan Ketua Unit yang cuba melindungi dan menutup mata salah laku pegawainya.

Beliau berkata, tidak dapat dinafikan terdapat sesetengah ketua jabatan dan ketua unit yang cuba melindungi pegawainya yang melakukan salah laku dan juga kes penyelewengan tidak dilaporkan. Perkara ini juga seharusnya tidak terbatas dalam ruang lingkup Pergerakan Pertubuhan Peladang dipelbagai peringkat bermula dari Pertubuhan Peladang Kawasan, Pertubuhan Peladang Negeri sehingga ke Pertubuhan Peladang Kebangsaan.

“Ketua Jabatan dan Ketua Unit di jabatan atau agensi kerajaan, termasuk syarikat pelaburan kerajaan (GLC) yang cuba buat
‘tidak tahu’ mengenai wujudnya amalan salah laku dalam pentadbiran masing-masing juga wajar dikenakan tindakan lebih tegas termasuk menurunkan pangkat disandangnya”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd.Nazri mengulas kenyataan PM bahawa tiada kenaikan pangkat bagi ketua jabatan jika wujud salah laku penjawat awam di bawahnya dan tidak dilaporkan.

Berucap pada Majlis Perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Jun di Putrajaya pada Isnin, beliau berkata agak mustahil bagi ketua jabatan atau ketua unit ‘tidak tahu’ mengenai wujudnya amalan salah laku dalam pentadbiran masing-masing.

“Kalau nampak terang salah laku, kenapa ketua jabatan tidak lapor, kenapa ketua unit tidak tahu, saya kadang-kadang fikir kerana amalan ini sudah berlaku bertahun-tahun, mustahil tidak tahu.

“Maka saya akan syorkan kepada KSN (Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali) mesyuarat dalam masa terdekat ini, dalam keputusan kita mengenai penyelarasan gaji, kita tetapkan seorang ketua jabatan atau ketua unit tidak akan diberikan kenaikan pangkat, sekiranya diketahui di bawahnya itu sistemnya bobrok dan tidak dilaporkan,” tegasnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau mahu satu ketetapan mengenai aspek kenaikan pangkat itu dibuat pada minggu hadapan dengan kaedahnya dijangka diumumkan oleh Mohd Zuki dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

“Saya harap saudara faham, kalau tidak saudara boleh pilih tidak mahu jadi ketua jabatan kerana tanggungjawabnya lebih, maklumkan kepada KPPA, katakan – saya hanya mahu bekerja sebagai pegawai biasa, tidak mahu jadi ketua unit atau jabatan,” katanya.

Beliau berkata dengan langkah berkenaan, ia bermaksud tanggungjawab untuk mencegah amalan salah laku tidak hanya terletak pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja, malah pada ketua jabatan dan ketua unit juga.-pr/BNN