KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) ingin merujuk kepada surat yang tular di aplikasi Whatsapp berkaitan peningkatan kes Gastroenteritis Akut (AGE) di daerah Tenom. JKNS mengesahkan telah menerima satu (1) notifikasi wabak AGE di daerah tersebut yang dinotifikasikan pada 6 Jun 2024.

Dalam satu kenyataan, Datuk Dr Asits Sanna  Pengarah Kesihatan Negeri Sabah berkata JKNS melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tenom telah mula mengenalpasti peningkatan kes AGE pada 4 Jun 2024 menerusi survelan AGE yang dijalankan secara berterusan. Siasatan lanjut berdasarkan tarikh mula gejala yang dilaporkan di antara 2 Jun
2024 sehingga 13 Jun 2024 mendapati, jumlah notifikasi kes AGE adalah sebanyak 191 kes. Sebanyak 154 kes telah menerima rawatan sebagai pesakit luar, manakala 37 orang lagi dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Sebanyak 33 kes telah pun discaj dan hanya empat (4) kes yang masih berada di dalam wad dan berada dalam keadaan stabil.

Aktiviti kawalan yang telah dijalankan termasuk siasatan epidemiologi, siasatan makmal, siasatan persekitaran serta pendidikan kesihatan kepada kes dan orang awam. Setakat ini,
sebanyak 19 sampel klinikal telah diambil daripada kes-kes yang dimasukkan ke wad Hospital Tenom dan didapati 16 sampel klinikal menunjukkan kehadiran Rotavirus.

Punca jangkitan yang disyaki berkemungkinan daripada pengambilan air yang tercemar.
Sampel persekitaran telah diambil bagi tujuan mengesan punca kejadian.

Walaubagaimanapun punca sebenar kejadian masih di dalam siasatan. Pihak Jabatan Bekalan Air Sabah juga telah dimaklumkan untuk mengambil tindakan bagi pemantauan
pengklorinan air terawat di daerah tersebut.

Jangkitan Rotavirus merupakan jangkitan usus yang biasa berlaku pada kanak-kanak. Gejala-gejala jangkitan ini adalah cirit-birit, muntah, dan demam yang boleh menyebabkan kekurangan air dalam badan atau dehidrasi. Sekiranya rawatan lanjut tidak diberikan dengan segera, ianya boleh membawa maut.

Rotavirus boleh ditularkan melalui air atau makanan yang tercemar serta kontak secara langsung dari najis ke mulut (faecal-oral) seseorang individu. Selain itu, ia juga boleh merebak secara kontak ke mulut melalui tangan, alat permainan atau permukaan
tercemar.

Sebagai pencegahan, Jabatan ini juga ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan langkah- langkah berikut:

1. Sentiasa amalkan kebersihan diri dan kerap mencuci tangan.
2. Masak makanan dengan cara yang betul dan dimasak dengan sempurna.
3. Simpan makanan pada suhu yang sesuai dan di tempat yang bersih.
4. Gunakan air yang selamat dan bersih serta minum air yang telah dimasak.
5. Segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala cirit-birit.

JKNS dengan kerjasama PKD Tenom akan terus memantau situasi kejadian kes AGE melalui survelan AGE di semua fasiliti kesihatan di daerah Tenom. JKNS akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.-pr/BNN