KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah mendakwa pengurusan tertinggi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Sabah berdepan beberapa kes salah laku yang perlu disiasat dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa kerajaan.
Pengerusinya, Datuk Mohd Nazri Abdullah bersama semua Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPN, mendakwa antara yang perlu disiasat ialah kes menutup penyelewengan pegawai Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kalabakan berhubung kehilangan wang PPK berkenaan.
Dakwanya, siasatan juga perlu dilakukan terhadap kes pelanggaran tatakelola dan peraturan mengenai pembelian pusat timbang sawit oleh PPK Tawau pada awal tahun ini serta kes melindungi perbuatan salah laku pegawai bawahan LPP.
“Dalam kes pertama, pengurusan tertinggi LPP Sabah dikatakan telah mengarahkan untuk menutup kes penyelewengan pegawainya di PPK Kalabakan berhubung kehilangan wang PPK itu sebanyak RM 320,251.79.
“Kes kedua pula berkaitan pembelian pusat timbang sawit berharga RM300,000 oleh PPK Tawau yang dibuat tanpa kelulusan dan melanggar Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang 1983 perkara 55(a).
“Dalam kes ketiga, pengurusan tertinggi LPP melindungi salah laku pegawainya yang melakukan pelbagai kesalahan yang menjejaskan PPN Sabah dari segi pelaksanaan tatakelola pentadbiran dan kewangan yang baik.
“PPN Sabah telah melaporkan kepada Pengarah, Ketua Cawangan Kewangan dan Pentadbiran, Ketua Unit Penyeliaan dan Penguatkuasaan LPP Sabah atas setiap kesalahan dan pelanggaran peraturan oleh pegawai terbabit, tetapi tiada sebarang tindakan diambil, malah pegawai itu dilindungi daripada sebarang tindakan lanjut bukan saja oleh pengurusan tertinggi di Sabah, tetapi oleh Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan LPP Malaysia dengan menukarkan pegawai tersebut walaupun telah banyak membuat “tahi” di sini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat AJP PPN Sabah di pejabat pertubuhan itu, di sini, semalam.
Mohd Nazri berkata, pemimpin PPN Sabah sudah mengemukakan surat aduan rasmi kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dengan di tandatangan oleh semua AJP PPN terdiri daripada Datuk Mohd Nazri Abdullah, Datuk Ng Loi Tect, Tan Sri Wences Angang, Datuk Dr George Sangkin, Datuk Faimin Kamin, Datuk Supardianshah Suyuti, Haji Abdul Rahim Oting, Benny Franklin Harthemen, Sylvia Belinggi, Abu Bakar Gapar dan Lawrence P Saibon, berhubung salah laku dan pelanggaran tatakelola perkhidmatan awam yang didakwa dilakukan pengurusan tertinggi LPP Sabah.
Katanya, aduan itu selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perhimpunan bulanan bersama Penjawat Awam Jabatan Perdana Menteri pada 11 Jun lalu yang mahu tindakan diambil terhadap ketua jabatan, ketua unit yang melindungi kesalahan pegawai bawahannya.
“Salinan aduan rasmi ini juga kami panjangkan kepada Perdana Menteri,  Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Pengarah LPP, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.
Beliau menegaskan tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap pengurusan tertinggi LPP Sabah kerana melanggar tatakelola penjawat awam dan tidak amanah dalam menjalankan fungsinya di Sabah.
“Beberapa tindakan mereka mencerminkan sikap sangat tidak berintegriti sebagai penjawat awam dan telah mencemarkan serta menjejaskan imej kerajaan yang harus diberi perhatian segera dan diambil tindakan oleh kerajaan,” katanya.-pr/BNN