TUARAN: Kerajaan negeri memberi komitmen sepenuhnya dalam meningkatkan
pembangunan pendidikan di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji
Hajiji Haji Noor.

Katanya, pendidikan menjadi keutamaan kerana ia penting dalam melahirkan rakyat
yang berilmu dan berpengetahuan yang akan memacu pembangunan serta kemajuan
negeri.

“Kerajaan negeri memberi penekanan utama ke atas pembangunan pendidikan bagi
memastikan rakyat negeri ini terus mendapat pendidikan yang terbaik dan sempurna.
Jika rakyat mempunyai pendidikan dan pelbagai kemahiran, ini akan membantu kita
membangunkan negeri ini.

“Ini juga selari dengan salah satu teras dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah
Maju Jaya iaitu Modal lnsan dan Kesejahteraan Rakyat. Keterlibatan dan komitmen
semua pihak diperlukan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara
terutama dalam komitmen kerajaan bagi melahirkan modal insan yang berkualiti,
berkemahiran dan berdaya saing.

“Kerajaan Negeri Sabah akan terus memastikan pembangunan infrastruktur dan akses
pendidikan kondusif dapat dilaksanakan melalui kerjasama padu pelbagai pihak yang
ingin menyumbang bakti ke arah mempertingkat kecemerlangan pendidikan di negeri
ini,” katanya ketika merasmikan Bangunan Serbaguna Baharu Sekolah Jenis
Kebangsaan Cina (SJKC) Chen Sin Tuaran di SJKC Chen Sin, Tuaran pada Sabtu.

Katanya, kerajaan negeri tidak mengabaikan kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira
bangsa dan agama, termasuk dalam aspek pendidikan.

“Tidak kira sekolah Cina atau kebangsaan, kerajaan negeri akan terus membantu untuk
memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan yang sempurna. Malah, pelbagai
inisiatif kerajaan negeri sediakan bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan
yang sempurna seperti biasiswa dan pinjaman selain bantuan one-off kepada pelajar
yang mendapat tawaran ke institusi pengajian tinggi.

“Kerajaan negeri juga menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah untuk membantu
pelajar yang tidak mendapat bantuan biasiswa. Sebenarnya banyak inisiatif yang
disediakan kerajaan bagi membantu rakyat di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri turut memberi keutamaan untuk membangunkan TVET di negeri ini dan ia akan diperluaskan ke seluruh negeri.

“Anak-anak kita perlu diberi kemahiran dalam bidang teknologi agar mendapat peluang
yang sama seperti anak-anak lain di negara ini,” katanya.

Mengenai majlis berkenaan, beliau berkata bangunan serbaguna baharu SJKC Chen
Sin itu mampu memberi keselesaan dan kesejahteraan prasarana pendidikan kepada
murid-murid di sekolah berkenaan.

“Hari ini kita berasa gembira kerana dapat menyaksikan kejayaan pembinaan bangunan
serbaguna baharu sekolah ini. Malah, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2
juta untuk pembinaan ini kerana saya tahu kepentingan pendidikan. Saya tidak kira
sekolah jenis apa, tanpa mengira bangsa dan agama, jika untuk meningkatkan
pendidikan, saya akan bantu.

“Bangunan ini juga adalah bukti hasil kerjasama padu daripada semua untuk
memastikan prasarana pendidikan yang kondusif khususnya kepada murid-murid
sekolah ini dapat disediakan,” katanya

Bangunan serbaguna baharu empat tingkat dengan kos sebanyak Rm4.2 juta itu telah
siap pada bulan Ogos 2023 lalu. Ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan pembelajaran kepada pelajar seperti bilik muzik, reka bentuk dan teknologi (RTB), multimedia, sains dan perpustakan.-pr/BNN