KOTA KINABALUl Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) ingin merujuk kepada surat yang tular di media sosial berhubung dengan peningkatan kes Gastroenteritis Akut (AGE) di daerah Penampang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Dr. Asits Bin Sanna Pengarah Kesihatan Negeri Sabah ,survelan (pemantauan) AGE oleh Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Penampang pada Minggu Epid (ME) 24/2024 mendapati kes AGE sedikit melepasi paras bertindak (action line) yang telah ditetapkan.

Oleh yang demikian, PKK Penampang telah mengeluarkan surat dalaman untuk  meningkatkan langkah kawalan. Taburan kes AGE yang dilaporkan adalah bersifat sporadik dan tiada wabak AGE yang dikesan. Survelan seterusnya pada ME 25/2024 menunjukkan kes AGE berada di bawah paras berhati-hati (alert line).

AGE merupakan satu keadaan di mana individu mengalami cirit birit (watery stool) lebih daripada tiga (3) kali dalam tempoh masa 24 jam dengan atau tanpa mengalami gejala lain seperti muntah, demam dan sakit perut.

Sekiranya mengalami cirit-birit yang teruk, ia boleh menyebabkan kekurangan air dalam badan atau dehidrasi. AGE boleh disebabkan oleh jangkitan virus, bakteria atau parasit.

Sebagai pencegahan, Jabatan ini ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah berikut:

1. Sentiasa amalkan kebersihan diri dan kerap mencuci tangan.
2. Gunakan air yang selamat dan bersih serta minum air yang telah dimasak.
3. Sekiranya menggunakan alat penapis air, pastikan ianya di selenggara secara berkala dengan baik.
4. Masak makanan dengan cara yang betul dan dimasak dengan sempurna.
5. Segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala cirit-birit.

JKNS dengan kerjasama PKK Penampang akan terus memantau situasi kejadian kes AGE melalui survelan AGE di semua fasiliti kesihatan di daerah Penampang. JKNS juga akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.-pr/BNN