KUCHING: Pelantikan anak kelahiran Sabah, Encik Amir Matamin sebagai Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Malaysia yang baharu disambut baik oleh pemimpin peladang negeri Sarawak.
Mantan Menteri Muda Pertanian dan Menteri Muda Kemudahan Awam Sarawak, Datuk Sylvester Entri Muran berkata, pelantikan Amir amat dialu-alukan oleh ahli-ahli peladang negeri Sarawak, Sabah dan Labuan.
“Ini merupakan satu penghormatan yang diberikan oleh Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertanian dan keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu kepada  ahli-ahli peladang kawasan negeri Borneo.
“Buat pertama kali anak kelahiran negeri Borneo dilantik sebagai Ketua Pengarah LPP Malaysia. Kita yakin Amir dapat membantu pembangunan ahli-ahli peladang Sarawak, Sabah dan Labuan yang amat memerlukan perhatian oleh LPP Malaysia”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas pelantikan Amir Matamin sebagai Ketua Pengarah LPP Malaysia berkuatkuasa 24 Jun 2024 menggantikan Datuk Azulita Salim yang telah bersara.
Amir merupakan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LPP Malaysia sebelum dilantik ke jawatan itu. Beliau juga merupakan satu-satunya Ketua Pengarah LPP Malaysia yang tidak pernah menjadi Pengarah LPP di mana-mana negeri di Malaysia.
Sylvester yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sarawak yang kelima (5) berharap PPN Sarawak, Sabah dan Labuan akan mendapat perhatian daripada Amir khususnya dalam soal penyaluran bantuan dan peruntukan pembangunan.
“Sarawak, Sabah dan Labuan amat memerlukan peruntukan yang besar daripada LPP Malaysia bagi membantu memajukan PPN dan PPK yang selama ini agak ketinggalan dari pelbagai aspek”, tegasnya.-pr/BNN