KOTA KINABALU: Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM131 juta untuk
pembangunan dan operasi sekolah agama Islam dan masjid serta program-program
kerohanian di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajji Haji Noor, berkata ini adalah antara
pelbagai usaha atau inisiatif kerajaan negeri untuk membantu rakyat, membangunkan
dan seterusnya membawa lebih banyak lagi kemajuan di negeri ini.

“Kerajaan negeri terus memperkukuhkan pembangunan modal insan dengan
penyediaan pelbagai bantuan, pinjaman dan peruntukan selain peluang pendidikan
kepada rakyat tanpa mengira kaum, bangsa serta agama.

“Baru-baru ini, saya telah melancarkan Portal Tajaan Pendidikan Sabah atau PTPS
yang menggabungkan semua penaja utama dalam pendidikan di negeri ini, di bawah
satu platform.

“PTPS adalah inisiatif baharu di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya dalam memperkasa
bantuan kepada anak-anak Sabah, terutama yang melanjutkan pelajaran ke peringkat
pengajian tinggi, melalui gabungan kerjasama badan-badan penaja utama dan pemberi
bantuan pendidikan di negeri ini,” katanya sempena Majlis Graduasi Maahad Tahfiz
Sulaimaniyyah Malaysia Timur Tahun 2024 di Dewan Kompleks JKKN Sabah, di sini
pada Sabtu.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada sekolah-
sekolah tahfiz di negeri ini dan akan terus membantu sebarang keperluan.

Sehubungan itu, beliau mahu semua pelajar Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Malaysia
Timur yang melanjutkan pelajaran ke Turkiye agar menimba ilmu sebanyak mungkin
bagi menyumbang kepada negeri, bangsa dan agama, apabila tamat pengajian kelak.

“Pelajar-pelajar ini juga perlu berani untuk berdaya kreatif dan meneroka ilmu serta
inovasi baharu agar mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang. Kerajaan komited
dalam pembangunan pendidikan Islam di negeri ini, sebab itu ia perlu dianggap sebagai
jihad terpenting kerana ilmu pengetahuan yang bakal diperolehi dapat disumbang
kepada masyarakat dalam pelbagai cara.

 

“Ini termasuklah dalam membantu agenda pembangunan negeri yang turut memerlukan
modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam pelbagai bidang. Justeru,
saya berharap semua pelajar yang melanjutkan pelajaran ke Turkiye memiliki jati diri
yang kental agar tidak terbabit atau tidak mudah terpengaruh dengan dakyah tertentu
yang menyeleweng atas nama Islam.

“Saya mahu semua pelajar berpegang kepada tujuan utama mereka iaitu menimba ilmu
sebanyak mungkin di sana bagi menyumbang kepada negeri, bangsa dan agama,”
katanya.

Ketua Menteri turut berharap pelajar-pelajar yang lahir dari Maahad ini dapat membantu
usaha negara dalam memartabatkan agama Islam di dalam pelbagai sektor yang bakal
mereka ceburi.

“Sentiasalah berpegang kepada al-Quran dan bawalah pulang ilmu yang diperolehi di
Turkiye untuk dikongsikan kepada masyarakat di negeri ini khususnya,” katanya.
Seramai 56 pelajar Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Malaysia Timur telah berjaya dipilih
melanjutkan pengajian ke Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah di Turkiye.-pr/BNN