KENINGAU: Karnival Gegar Keningau Mega v6.0 yang akan diadakan pada akhir bulan ini, kini berkolaborasi dengan Karnival Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Sabah dibawah Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) Sabah.
Dikenali sebagai Karnival Gegar PMKS Keningau Tahun 2024 akan diadakan pada 26 hingga 28 Julai 2024 di Dataran Keningau.
Karnival selama 3 hari itu akan dipenuhi dengan pelbagai acara sepanjang hari dan yang paling menarik adalah 3 Buah Konsert turut diadakan pada setiap malam iaitu Konsert Sumandak Sabah pada 26 Julai, Konsert Gegar Keningau pada 27 Julai dan Konsert Maldini Sidney PMKS Tour Sabah 2024 pada 28 Julai.
Cabutan Tiket Bertuah juga turut diadakan dengan menawarkan hadiah utama sebuah motosikal yang ditaja oleh SEDCO.
Sehubungan itu, satu mesyuarat ahli jawatankuasa penganjur dan penyelarasan program itu telah diadakan di Bilik Mesyuarat Matulai, Bangunan Urus Setia Keningau yang telah dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Keningau, Encik Peter Jonu Moinjil selaku Pengerusi Penganjur.
Turut hadir Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Encik Rafie Robert dan Penolong Setiausaha Kanan (Keusahawanan) MIDE Sabah, Encik Mohd Ridwan
Menurut Peter,  program seumpama ini dapat merangsang ekonomi penduduk tempatan dan aktiviti pengisian yang bermanfaat untuk anak-anak muda di kawasan Pedalaman Atas khususnya di Daerah Keningau.
“Dengan penganjuran program seperti ini kita dapat menarik lebih ramai pelancong luar dan dalam negeri untuk berkunjung ke Keningau sekaligus mempromosikan produk-produk pelancongan selaras dengan agenda Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam merancakkan lagi Industri pelancongan negeri Sabah”, kata Rafie Robert selaku Pengerusi Penganjur Bersama.
Beliau menjemput orang ramai hadir bagi memeriahkan karnival terbesar di Keningau dan memberi sokongan kepada pengusaha-pengusaha tempatan. “Bah Jom! Kasi Gegarrrr…”.-pr/BNN