KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata Kementeriannya, melalui Jabatan Pertanian Sabah mengambil pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pengeluaran padi dan beras.
“Pertama, pemberian bantuan subsidi pembajakan sawah padi oleh Jabatan Pertanian Sabah. Pada tahun 2023, insentif pembayaran subsidi pembajakan ini melibatkan seramai 21,263 orang pesawah dengan keluasan 21,896.73 hektar.
“Kedua, bantuan input pertanian (baja dan racun kawalan perosak) oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
“Ketiga, insentif penjualan padi oleh BERNAS (Padi Beras Nasional Berhad) yang telah ditingkatkan dari RM360 hingga ke RM500 satu tan.
“Keempat, menanam padi luar musim, saya sendiri telah melancarkan kempen ini iaitu menanam padi dua kali setahun.
“Kelima, penggunaan varieti padi TR8 ‘High Yield Variety’, penggunaan varieti padi TR8 yang berhasil tinggi (High Yield Variety/HYV) pada 5 Februari 2024 di daerah Tambunan.
Jelasnya, kempen tersebut bertujuan memaksimakan penggunaan tanah sawah padi di 21 buah daerah seluruh Sabah.
Menurutnya, hasil varieti padi TR8 berupaya mencapai sehingga 10 metrik tan per hektar berbanding keluaran benih biasa setakat 2 hingga 3 metrik tan per hektar, sekaligus membuktikan penggunaan varieti itu memberikan hasil dan produktiviti lebih daripada tiga kali ganda.
Tambahnya lagi, ia terbukti dengan pencapaian hasil padi 6 metrik tan per hektar di Kg. Solibog, Tambunan dan 8 metrik tan per hektar di Kg. Lambanga, Keningau.
“Keenam, kita sedang membincangkan penggunaan hybrid dari China yang telah dan sedang dalam percubaan di Sarawak. Kalau berjaya kita juga mungkin akan menggunakan ini.
”Ketujuh, pemulihan tanah sawah yang terbiar. Sekarang kita mempunyai tanah-tanah terbiar lebih 7000 hektar dan kita sedang memulihkan sekurang-sekurang 456 hektar untuk diusahakan.
”Kelapan, kementerian juga buat kolaborasi dengan agensi-agensi kerajaan atau GLC, swasta atau individu-individu dalam meningkatkan pengeluaran padi dan beras.
Sehubungan dengan itu katanya, Jabatan Pertanaian mempunyai kolaborasi dengan Sawit Kinabalu di kawasan baru dengan keluasan 100 hektar di Kg Taritipan, Kota Marudu.
”Kesembilan, kita juga sedang dan akan melancarkan mekanisasi secara besar-besaran.
Untuk itu katanya, pada 2023 Jabatan Pertanian Sabah telah diperuntukkan sebanyak RM700 ribu melalui Program Mekanisasi dan Automasi Agromakanan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Jelasnya, program tersebut membekalkan 14 buah traktor pembajak (rubber crawler lengkap dengan implement) dan 6 buah mini jentuai padi yang telah dipinjamkan kepada para petani melalui Program Peminjaman Jentera di bawah Jabatan Pertanian Sabah.
Bagaimanapun hakikat keperluan sebenar jauh lebih banyak iaitu 275 pembajak dan 338 jentuai yang mana memerlukan perbelanjaan hampir 120 juta, justru akan cuba memohon untuk dimasukkan dalam bajet tahun hadapan nanti.
“Kesepuluh, kita juga sedang melihat keperluan-keperluan untuk meningkatkan irigation kita, dan di mana tidak ada, kita cuba menjalankan projek-projek untuk pengairan.
Namun katanya, irrigation menjadi tidak bermakna jika tidak ada air yang masuk.
Terlebih dahulu, mejawab soalan DUN Sindumin Datuk Dr Yusof@Josree Yacob di Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Yang Keenam Belas, Kitingan berkata Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) telah ditubuhkan pada 26 April 2024 seperti yang diwartakan pada 23 Mei 2024, dan kini proses perlantikan ahli-ahli Lembaga Pengarah sedang dilaksanakan.
“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 Julai 2024 meluluskan penggubalan Enakmen Lembaga Padi Beras Sabah oleh Kementeriannya (MAFFI) saya bersama Jabatan Peguam Negeri Sabah.
Selain itu Kitingan berkata, Kementeriannya juga telah memohon peruntukan tambahan sebanyak RM25 juta untuk membiayai Program Mekanisasi bagi membantu pengeluaran padi dan beras.-pr/BNN