KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan penuh dan
kerjasama padu kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM)
dan semua pasukan keselamatan dalam mengekang ancaman pencerobohan anasir
asing dan militan, anasir keganasan (fahaman pelampau), kebanjiran pendatang tanpa
izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan khususnya di Zon Selamat Sabah Timur
(ESSZone).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kementerian Dalam
Negeri (KDN) amnya dan ESSCOM khasnya terus giat mengadakan operasi-operasi
bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara daripada dibolosi oleh pihak yang
tidak bertanggungjawab dan menganggu gugat ketenteraman negeri Sabah.

“Sejajar dengan pemerkasaan hala tuju Sabah Maju Jaya, saya amat menyokong
inisiatif-inisiatif penambahbaikan infrastruktur, aset, sumber manusia dan keperluan
agensi keselamatan, penguatkuasaan dan pertahanan bagi memastikan tahap
kebolehoperasian dan kesiapsiagaan berada pada tahap tertinggi”, katanya pada
Mesyuarat Jawatankuasa Bersama ESS Zone Bilangan 1, Tahun 2024 di Menara
Kinabalu pada Khamis.

Hajiji dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
mempengerusikan bersama mesyuarat itu.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong dan
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Haji Ruji Haji Ubi, Peguam Besar
Negeri, Datuk Brenndon Soh dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri, Datuk Haji Ag. Shahminan Datuk Hj. Ag. Sahari.

Menurutnya, sebagai sebahagian daripada Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei
Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), Sabah berada pada kedudukan
lokasi yang sangat strategik dengan Pantai Timur Sabah sebagai hab pertumbuhan
ekonomi baharu kerana hampir dengan EAGA yang lain.

Hajiji berkata, pewujudan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan Timur
juga akan menambah merit dan keunggulan negeri Sabah.

“Perkembangan-perkembangan positif ini wajar diambil peluang kerana kebanjiran
manusia dan perusahaan ke Borneo akan memangkin pertumbuhan ekonomi negeri ini.

 

Kerajaan percaya pelabur domestik dan antarabangsa boleh menerokai sub-rantau ini
dengan pasaran lebih 70 juta pengguna dan berkembang”, katanya.

Katanya, ESSCOM telah menjadi jenama keselamatan (brand) yang dijadikan rujukan
oleh pihak luar negara untuk membuat pelaburan.

Menurutnya, kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan melalui KDN
amat diperlukan bagi memastikan perancangan pembangunan ekonomi Sabah dapat
dilaksanakan dengan jayanya,

Katanya, Kerajaan Negeri komited memastikan situasi keselamatan di sempadan
maritim meliputi kawasan gugusan kepulauan, pesisiran dan sungai serta sempadan
daratan khususnya di ESSZone dalam keadaan baik dan terkawal.

Hajiji berkata, ini kerana keluasan maritim yang besar di Sabah merupakan
penyumbang kepada penjanaan kemakmuran ekonomi kepada negara Malaysia
sebagai sebuah wilayah perairan yang tidak lepas dari ancaman keselamatan serta
aktiviti jenayah merentasi sempadan.

“Oleh itu penyelarasan yang jitu antara Kerajaan Negeri dengan KDN melalui semua
agensi dibawahnya seperti ESSCOM akan sentiasa digembleng bagi menangani isu-isu
tersebut di Sabah khususnya dan di Malaysia amnya melalui langkah-langkah proaktif
dan strategik bagi memelihara kedaulatan, mencegah dan membanteras ancaman
keselamatan dari terus berlaku pada masa hadapan” tegasnya.

Hajiji berharap melalui Mesyuarat Jawatankuasa Bersama itu dapat mencapai muafakat
dalam meningkatkan lagi pelaksanaan operasi keselamatan dan program
mensejahterakan rakyat, seterusnya meningkatkan keyakinan masyarakat di wilayah
ini.

Sementara itu, Hajiji dan Saifuddin Nasution Ismail turut menghadiri Mesyuarat
Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Di Sabah (JKPWAS-INDUK) Bil 1,
Tahun 2024 di Menara Kinabalu.-pr/BNN