KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan
menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam merealisasikan agenda kerajaan ke arah
memperkasa, meningkatkan kecemerlangan dan mutu pendidikan di negeri ini.

Katua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kerjasama ini amat penting kerana kecemerlangan pendidikan akan menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti kehidupan rakyat keseluruhannya.

Beliau berkata, usaha itu termasuklah menambah baik dan meningkatkan lagi prasarana
pendidikan di negeri ini, seiring dengan komitmen kerajaan negeri dalam melahirkan modal
insan yang berkemahiran, cemerlang dan mampu bersaing.

“Justeru, semua pihak yang berkaitan termasuk warga Jabatan Pendidikan, pendidik dan ibu bapa perlu berganding bahu serta bekerjasama demi kejayaan dan masa depan anak-
anak kita”.

“Sebab itu dalam konteks kerajaan negeri, kita terus memperkukuhkan lagi pembangunan
modal insan agar lebih ramai anak Sabah dapat melanjutkan pendidikan mereka hingga ke
tahap tertinggi selain mengikuti kursus kemahiran yang diperlukan. Dalam hal ini, kita
menyediakan peruntukan sebanyak RM474.55 juta pada tahun ini”, katanya semasa
merasmikan Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Akademik (MEKAR) Kali Ke-12 JPN
Sabah Tahun 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Isnin.

Hajiji berkata, kerajaan negeri telah melancarkan Portal Tajaan Pendidikan Sabah yang
menggabungkan semua penaja utama dalam pendidikan di negeri ini melalui satu portal. Ia
adalah inisiatif baharu di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memperkasa
bantuan kepada anak-anak Sabah terutama yang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi melalui gabungan kerjasama badan-badan penaja utama dan pemberi bantuan pendidikan.

Beliau mahu Jabatan Pendidikan Negeri membantu memperluaskan hebahan mengenai
portal itu bagi memperkasa modal insan menerusi pembangunan sektor pendidikan di
negeri ini.

Beliau berharap, ilmu-ilmu dan cara pengajaran berasaskan teknologi komunikasi dan
internet (ICT) terus diamalkan dan dibudayakan, sekaligus menjadikan cabaran dan ilmu
semasa pendemik sebagai pengubahcara dalam pengajaran, sesuai dengan aspirasi
negara untuk memiliki sistem pendidikan yang berdaya saing, kompetitif dan cemerlang.

 

“Kewujudan sebuah sistem pendidikan yang bersifat ‘glokal’ iaitu mampu berdaya saing di
peringkat global tetapi berpegang teguh pada jati diri amat penting. Justeru, warga JPN
Sabah khususnya akan berperanan dan bertanggungjawab dalam menghadapi era
Revolusi Industri 4.0.”, katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga sentiasa menyokong usaha JPN dalam menjayakan
hasrat dalam 9 Fokus Lanskap Pendidikan yang terkandung dalam hala tuju pencapaian
yang digariskan oleh jabatan itu bermula tahun 2024 hingga 2025.

Katanya, ini termasuklah deklarasi yang diterjemah daripada Lanskap Pendidikan iaitu
menoktahkan Gred Purata Negeri (GPN) SPM ‘Kepala 5’, seiring dengan hala tuju Pelan
Pembangunan SMJ 1.0 yang menggariskan pembangunan modal insan antara objektif
utama.

“Kita mengharapkan agar kecemerlangan yang dikecapi hari ini dibudayakan dan dijadikan
amalan berterusan serta menjadi contoh teladan kepada semua rakan warga Jabatan
Pendidikan dalam membentuk ekosistem pendidikan yang cemerlang”, tambahnya.

Hajiji juga berharap pengiktirafan yang diberikan menerusi MEKAR akan menjadi
pendorong dan pembakar semangat kepada warga pendidik untuk terus meningkatkan
kecemerlangan pada masa akan datang dan sebagai acuan kecemerlangan yang wajar
diterapkan ke arah pembudayaan kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan.

“Semoga sektor pendidikan negeri akan terus berkembang maju selari dengan kepesatan
dunia pendidikan masakini, yang juga terkait dengan pembangunan dan kecanggihan
teknologi maklumat dalam abad ke-21 ini. Sesungguhnya, kita tidak lagi mampu untuk
tertinggal jauh di belakang dalam apa jua bidang, terutamanya dalam sektor pendidikan
yang terpenting dalam mencipta dan membina pembangunan modal insan demi kemajuan
serta pembangunan negeri dan negara”, katanya.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr.Haji Mohd Arifin
Mohd.Arif, Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Haji Raisin Saidin dan Pengarah Yayasan
Sabah, Dato’ Sri Haji Gulamhaidar Khan Bahadar.-pr/BNN