KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyokong penuh pendirian tegas Kerajaan Perpaduan dalam mempertahankan kedaulatan negara dan menolak sebarang tuntutan ke atas Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjelaskan pendirian Malaysia yang
sama dengan pendirian kami selama ini,” katanya.

Hajiji berkata rakyat Sabah telah memilih untuk bersama-sama membentuk
Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) oleh itu, sebarang
tuntutan luar terhadap negeri Sabah tidak akan diiktiraf sama sekali oleh rakyat.

Beliau mengulangi bahawa Sabah sentiasa menjadi sebahagian daripada Malaysia dan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa telah
mengiktiraf Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak pembentukan
Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri juga menyokong penuh tindakan dan kenyataan
Wisma Putra bahawa isi kandungan video tular di media sosial yang mempertikaikan
kedaulatan negeri Sabah, tidak berasas dan mengelirukan.

“Kami yakin Kementerian Luar akan dapat menyiasat perkara itu secara menyeluruh
dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan,” katanya.-pr/BNN