KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) meraikan sambutan ulang tahun ke-30 dalam suasana penuh makna yang dihadiri para pengasas parti itu, di SICC, semalam.
Ketika berucap pada majlis itu, Presidan UPKO Datuk Ewon Benedick berkata, sambutan ulang tahun ke-30 membuktikan parti itu terus relevan dan mempunyai kesinambungan, sumbangan, pencapaian, pewaris dan kisah kejayaan tersendiri.
Beliau menyatakan majlis tersebut lebih bermakna dengan kehadiran pengasas-pengasas parti seperti Tan Sri Bernard Dompok, Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing, Datuk Tan Yong Gee, Datuk Christine Vanhouten, Datuk Dr Othman Minudin dan Datuk Wong Thien Fook.
“Dalam setiap sambutan ulang tahun, sama ada dalam keluarga, organisasi dan pertubuhan termasuk parti kita, sudah tentu kita ingin melihat kebersamaan bukan hanya pimpinan tetapi juga ahli-ahli seperti yang kita tonjolkan pada malam ini.
“Apa yang paling membanggakan saya selaku ketua keluarga, ketua pimpinan parti pada hari ini adalah melihat pengasas parti hadir bersama-sama kita. Mereka masih setia bersama pimpinan UPKO sehingga kini,” katanya.
Mengimbas titik mula menyertai UPKO, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau menyertai parti itu 20 tahun lalu dan menubuhkan Komulakan pada tahun 2005.
“Sehingga kini, rakan-rakan dalam Komulakan pada tahun 2005 masih bersama kita. Ini membuktikan UPKO di sebalik usia 30 tahun terus menjadi satu parti yang releven, satu parti yang ada kesinambungan dan sumbangan serta pencapaiannya,” katanya.
Katanya lagi, sempena ulang tahun ke-30 parti itu, pendekatan baharu dalam konvensyen turut diperkenalkan di mana “kita dididik dalam kepimpinan bahawa pimpinan UPKO dan ahli-ahlinya harus menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah”.
“Maka konvensyen UPKO adalah platform untuk pimpinan kita yang mendapat tempat di kementerian dan agensi kerajaan untuk berhujah wawasan mereka di agensi masing-masing dan bagiamana agensi berkenaan boleh membantu menyelesaikan isu rakyat yang kita perjuangkan selama ini yang terkait dengan pembangunan keusahawanan, pendidikan dan ekonomi,” katanya.
Sempena sambutan itu, Datuk Wong Thien Fook dinobatkan Anugerah Presiden atas sumbangan perjuangan, kepimpinan, kesetiaan dan komitemen besar beliau dalam parti.
Datuk Wong juga merupakan satu-satunya barisan pengasas Majlis Tertinggi UPKO yang terus berkhidmat dalam jawatankuasa tertinggi parti hari ini sebagai Naib Presiden.
Ewon berharap dedikasi dan komitmen besar Datuk Wong menjadi motivasi dan inspirasi kepada semua ahli UPKO.
Ewon turut merakamkan penghagraan kepada barisan pengasas parti yang telah menubuhkan Upko yang kini menjadi platform untuk menyuarakan pendirian dan pandangan untuk tindakan kerajaan seterusnya pembangunan negara.
“Semoga kita dapat menyambut ulang tahun UPKO yang seterusnya supaya parti ini terus kekal relevan selama-lamanya.
“Sambutan ini juga memberi ruang kepada kita untuk menginsafi perjuangan kita selama ini. Masih banyak tuntutan rakyat yang belum terlaksana dan kita akan teruskan perjuangan parti demi manfaat rakyat secara keseluruhannya.
“Ini adalah UPKO yang kita tubuhkan untuk menyediakan wadah perjuangan bukan hanya kepada rakyat tetapi menjadi wadah penyelesaian masalah dan isu-isu rakyat,” katanya.-pr/BNN