TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengingatkan
Pegawai Daerah (DO), Penolong Pegawai Daerah (ADO) dan Presiden Majlis
Perbandaran agar melaksanakan tugas dan amanah dengan penuh integriti dan
ketelusan, khususnya melibatkan pelaksanaan projek pembangunan untuk rakyat.

Katanya, mereka juga perlu memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Wakil-wakil
Rakyat Kerajaan dan memaklumkan mereka tentang projek-projek pembangunan untuk
rakyat yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di
kawasan masing-masing.

“DO merupakan pegawai yang amat penting di daerah, perlu memberikan kerjasama
kepada Wakil Rakyat Kerajaan dan jangan “tapuk” (sembunyikan) maklumat terutama
projek-projek pembangunan kerajaan. Wakil Rakyat mungkin tahu dan maklum tentang
projek pembangunan untuk rakyat daripada peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) atau Parlimen. Tetapi projek lain daripada kerajaan, mereka tidak tahu”.

“Saya juga telah memanggil Pegawai Kemajuan Negeri dan memintanya
memaklumkan kepada Wakil-wakil Rakyat projek dan peruntukan daripada Kerajaan
Persekutuan yang disalurkan di kawasan dan daerah mereka. Ini kerana saya menerima
aduan daripada Wakil-wakil Rakyat bahawa mereka tidak dimaklumkan tentang perkara
ini”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah
Negeri Sabah Kali Ke-27, Tahun 2024 di Grand Ballroom, Shangri-La Rasa Ria pada
Khamis.

Katanya, beliau menerima banyak aduan daripada orang ramai di beberapa daerah
negeri ini berhubung ketidaktelusan atau integriti dikalangan DO, ADO dan pegawai
jabatan kerajaan terutama sekali melibatkan pelaksanaan projek-projek kecil untuk
rakyat yang amat penting dalam usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan.

“Justeru saya berharap DO dan ADO mesti memberi tumpuan dan penekanan kepada
aspek integriti dan ketelusan. Apa yang penting ialah kita permudahkan urusan-urusan
mengenai pelaksanan projek-projek kecil, kerana rakyat amat memerlukan. Sebagai
pegawai yang setiap masa berada di bawah, rakyat perhatikan kita”.

 

“Kalau ada kekurangan atau ketirisan dalam pelaksanaan program-program kerajaan di
daerah, maka kesan dan implikasinya akan diterima ialah Wakil-wakil Rakyat dan juga
Kerajaan kerana rakyat akan kritik Wakil Rakyat dan Kerajaan”.
“Kita perlu permudahkan urusan dengan rakyat apabila berjumpa dengan kita. Jangan
kita lambat-lambatkan sesuatu kelulusan, bukan sahaja dalam pelaksanaan projek kecil,
tetapi pengeluaran lesen-lesen dan sebagainya, kerana ini adalah soal kehidupan
rakyat”, tegasnya.

Hajiji berkata, keberkesanan kerajaan bergantung kepada pegawai kerajaan khususnya
DO dan ADO yang berada di lapangan kerana rakyat akan jumpa dengan mereka untuk
pelbagai urusan.

“Jika sesuatu urusan boleh diselesaikan dalam masa yang singkat, jangan pula ambil
masa terlalu lama sehingga satu atau dua bulan untuk selesaikan atau luluskan, kerana
ini akan memberi impak negatif kepada kerajaan”.

“Saya ingin mengingatkan bahawa saya tidak akan berkompromi, jika saya dapati ada
unsur-unsur melengah-lengahkan pelaksanaan projek pembangunan untuk rakyat yang
disengajakan, menyusahkan urusan dengan rakyat termasuk mengambil kesempatan
untuk mencari keuntungan, dan mempunyai bukti yang nyata, saya akan mengambil
tindakan tegas terhadap pegawai-pegawai tersebut yang tidak melaksanakan tugas
seperti yang diamanahkan dengan baik dan semporna”.

“Kerajaan mahukan kejayaan dalam pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, Tidak
lama lagi kita akan menghadapi pilihan raya dan banyak lagi isu-isu yang perlu kita
selesaikan yang bersangkutan dengan rakyat”.

“Bukan sahaja DO dan ADO tetapi semua pegawai kerajaan, sebagai pelaksana kepada
kerajaan yang memerintah. Laksanakan tugas dengan baik, permudahkan. Saya
berharap mereka bukan sahaja tingkatkan integriti, ketelusan tetapi kecekapan dalam
mentadbir di pejabat-pejabat peringkat daerah, kementerian dan lain-lain”, tegasnya.

Menyentuh persidangan itu, Hajiji yakin ia akan memberi manfaat kepada rakyat negeri
ini kerana skop perbincangan menjurus kepada mencari salusi untuk tadbir urus daerah
yang mampan demi kepentingan rakyat.-pr/BNN