KOTA KINABALU: Majlis Tenaga Sabah (MTS) dalam mesyuarat keduanya telah
meluluskan beberapa projek kritikal untuk pembangunan penjanaan berjumlah kapasiti
700 Megawatt ke arah memulihkan Sistem Grid negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, antara projek utama
itu ialah Projek Hidro Elektrik dan Loji Janakuasa Gas Asli bagi memastikan
keterjaminan bekalan elektrik yang mencukupi di negeri ini pada masa sekarang dan
akan datang.

Katanya, mesyuarat MTS juga mendengar maklumbalas daripada Energy Commission
of Sabah (ECoS) berkenaaan perkembangan projek-projek penjanaan penting lain yang
telah diambil tindakan susulan keputusan yang telah dibuat pada mesyuarat MTS
pertama bulan Jun lalu.

“Ini termasuklah keputusan keatas perlaksanaan projek-projek sumber tenaga masa
hadapan iaitu potensi dan kaedah pembangunan hidro elektrik secara meluas di Sabah
menerusi kajian Sabah Hydro Development Masterplan yang sedang dilaksanakan oleh
ECoS, serta kaedah pembangunan loji Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC)
melalui konsep Projek Perintis Permulaan”, katanya selepas mempengerusikan
Mesyuarat Kedua MTS di Menara Kinabalu pada Khamis.

Hajiji berharap segala usaha yang dilaksanakan itu akan mendatangkan manfaat terbaik
dalam merealisasikan pencapaian tenaga yang berdayaharap, mampu milik dan
mampan untuk masa kini dan akan datang.

Katanya, ini adalah selari dengan Pelan Induk Tenaga – Sabah Energy Roadmap and
Masterplan 2040 (SE-RAMP 2040) untuk kemajuan Sabah dan memberi manafaat
kepada rakyat negeri ini.

MTS ditubuhkan berikutan penyerahan kuasa kawal selia tenaga daripada Kerajaan
Persekutuan kepada Sabah dan untuk menggantikan Jawatankuasa Perancangan dan
Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Sabah.-pr/BNN