TAWAU: Hasrat sebuah keluarga dapat membawa pulang seorang warga emas yang terlantar akibat stroke pulang ke Tawau, tercapai apabila wanita itu selamat tiba di Lapangan Terbang Tawau, di sini, hari ini (Selasa).
Jun lalu, Rasnah Irham, 75, tidak dapat pulang ke Tawau selepas mengalami stroke secara tiba-tiba.
Menurut cucunya, Sherlinda Rabu, pada Jun lalu, Rasnah sepatutnya pulang ke Tawau daripada Kuala Lumpur. Bagaimanapun sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dia tiba-tiba diserang angin ahmar menyebabkannya stroke seluruh badan.
“Keadaan itu menyebabkan nenek dimasukkan di sebuah hospital di Cyberjaya. Malah, beliau terpaksa tinggal di Kuala Lumpur buat sementara sehinggalah keadaannya mengizinkan untuk nenek menaiki kapal terbang.
“Namun, kami mula berdepan masalah apabila tidak dapat mencari doktor pengiring bagi membantu memantau keadaan nenek sepanjang proses penerbangan pulang,” katanya.
Menurut Sherlinda, selepas gagal mendapatkan doktor daripada hospital kerajaan dan swasta di Kuala Lumpur, dia akhirnya menghubungi Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Brig Jen (B) Tan Sri Datuk Liew Yun Fah JP untuk mendapatkan pertolongan.
“Sebenarnya kos untuk menggunakan doktor pengiring bagi kes seperti nenek sekitar RM20,000.
“Alhamdulillah kerana Tan Sri (Liew), bersedia membantu mencarikan doktor pengiring termasuk menampung sebarang kos berkaitan perubatan sepanjang proses membawa Nenek pulang ke Tawau,” katanya.
Terdahulu, ketibaan Rasnah diiringi Timbalan Pengarah Hospital Tawau Dr Azman Ibrahim dan suami serta ahli keluarga lain, tiba di Lapangan Terbang Tawau pada jam 10.10 pagi, menaiki pesawat komersial.
Rasnah turut disambut Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Tawau Sammie Liew Sam Yi dan ahli keluarga lain kemudian dihantar pulang ke kediamannya di Kampung Sungai Udin, Merotai menggunakan ambulans.
Sementara itu, Liew berkata, pihaknya berbesar hati dapat membantu keluarga dalam proses membawa pulang warga emas berkenaan.
“Saya segera menghubungi Dr Azman yang kebetulan ketika itu berada di Kuala Lumpur.
“Syukur semua urusan dipermudah dan pesakit dapat bersama keluarga di kampung halaman,” katanya.
Dalam pada itu, Liew turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang turut membantu melancarkan usaha sepanjang proses membawa pulang pesakit.-pr/BNN