KOTA KINABALU: Empat negara iaitu China, Brunei, Indonesia dan Filipina
mencatatkan kemasukan pelawat asing tertinggi ke Sabah pada tahun ini setakat bulan
Ogos iaitu seramai 586,501 orang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji
Haji Noor.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata jumlah kemasukan
pelawat asing dari empat negara ini dijangka akan terus meningkat menjelang akhir
tahun ini.

“Berdasarkan statistik daripada Jabatan Imigresen negeri Sabah, kemasukan pelawat
asing ke negeri ini dalam tempoh lima tahun iaitu 2020 sehingga Ogos 2024, jelas
menunjukkan peningkatan drastik terutamanya dari negara China, Brunei, Indonesia
dan Filipina.

“Mengambil kira rekod daripada Jabatan Imigresen itu, sebagai contoh untuk tempoh
sepanjang tahun 2023 sahaja, jumlah kemasukan pelawat asing ke Sabah dari empat
negara berkenaan adalah seramai 427,077 orang.

“Sesungguhnya, peningkatan ini adalah sesuatu yang sangat positif, khususnya dalam
membantu pertumbuhan ekonomi negeri ini. Saya juga berharap jumlah kemasukan
pelawat asing dari negara-negara lain akan turut meningkat,” katanya.
Beliau berkata, sistem tadbir urus dan kerjasama baik di antara kerajaan negeri dan

Jabatan Imigresen Negeri Sabah dalam pengurusan imigresen yang efisien telah
memudahkan kemasukan pelawat termasuk pelabur asing di negeri Sabah.

“Dengan menyediakan proses kemasukan dan permohonan pas yang mudah dan
teratur, jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan persekitaran
perniagaan yang mesra dan kondusif, selain menarik lebih ramai pelawat atau
pelancong.

“Ia seterusnya membina keyakinan pelabur terhadap keupayaan negeri Sabah dalam
menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya sempena Majlis Apresiasi
Serumpun Kasih Seluhur Budi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di Sabah
International Convention Centre (SICC) di sini pada Rabu.

 

Katanya, sebagai sebuah negeri yang berkembang maju, adalah penting untuk
meningkatkan kualiti dan produktiviti penyampaian perkhidmatan dalam kalangan warga
Jabatan Imigresen negeri Sabah.

“Oleh itu, saya mahu agar semua warga Jabatan Imigresen negeri terus memberikan
perkhidmatan yang cekap, mesra, berintegriti dan profesional. Rakyat hari ini
mempunyai pelbagai kehendak yang perlu disantuni dengan sebaiknya,” katanya.

Katanya, negeri Sabah yang berkeluasan lebih 72,000 kilometer persegi sudah pasti
memberi cabaran kepada Jabatan Imigresen Negeri dalam menguruskan kemasukan
pelancong dan warga asing ke negeri ini.

“Justeru, komitmen semua pegawai dan warga Jabatan Imigresen negeri Sabah yang
telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi khususnya
dalam mengawal selia 11 pintu masuk di Sabah, amat dihargai.

“Dalam pada itu, kedudukan Sabah yang bersempadan dengan beberapa negara jiran
termasuk pembukaan Ibu Kota Nusantara Indonesia, sekali gus terdapat keperluan
dalam aspek keselamatan rentas sempadan yang perlu dipertingkatkan di sempadan
negeri ini dan Kalimantan, Indonesia,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri telah meluluskan pembinaan dua buah kompleks Imigresen,
Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Negeri Sabah iaitu di ICQS Bantul dan
ICQS Serudong, pada tahun lalu.

“Hasil usaha kerjasama di antara Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Negeri
Sabah, projek pembangunan di ICQS itu kini sedang dilaksanakan dalam
merealisasikan hasrat pembukaan pintu sempadan antarabangsa darat yang pertama
di Sabah,” katanya.-pr/BNN