KOTA KINABALU: Kenyataan ADUN Bemban, Mohd Yadzil Yaakub mempertahankan tindakan tidak bertanggungjawab beberapa pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menggunakan gambar pemimpin parti politik pembangkang dalam slaid Khutbah Jumaat.

Menurutnya ketika ini tiada tokoh lain yang layak dijadikan contoh bersesuaian dengan teks khutbah Jumaat berkenaan selain Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Dalam satu kenyataan Razeef Rakimin,Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat berkata, Yadzil sepatutnya faham undang-undang telah menetapkan larangan berpolitik termasuk memaparkan gambar pemimpin parti politik dalam kawasan Masjid.

“Adalah lebih baik slaid khutbah Jumaat diletakkan gambar Yang DiPertuan Agong, Tuan Yang Terutama negeri Melaka atau ulama yang layak tidak seperti Hadi yang dikatakan umpama ulama “pagi keluar fatwa lain, petang keluar fatwa lain,” katanya.

“Malah dalam slaid lain juga memaparkan wajah bekas YDP Agong ke 16, Al-Sultan Abdullah, berbanding wajah YDP Agong baharu, Sultan Ibrahim sehingga menimbulkan kekeliruan dan prejudis masyarakat terhadap profesionalisme serta kewibawaan JAIM dan kerajaan negeri.”

Menurut beliau jika alasannya hanya kerana Abdul Hadi pernah menjadi Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, perlu diingat bahawa Hadi Awang pernah dikecam kesatuan Ulama sehingga beliau mengambil keputusan tidak bertanding semula untuk jawatan dalam Kesatuan Ulama Sedunia.

“Ini berbeza dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pernah diiktiraf antara pemimpin islam terkemuka dunia sejak tahun 70-an sehingga ke hari ini melalui pelbagai sumbangan kepada dunia Islam.”

Selain kelantangan beliau menentang kekejaman dan penindasan, beliau juga mempunyai banyak jasa termasuk penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa, Amanah Ikhtiar dan banyak lagi sehingga sekecil-kecil menetapkan penggunaan seluar panjang bagi pelajar sekolah.

Beliau juga mendakwa Perdana Menteri hari ini paling dibenci rakyat. Bagi saya itu hanya pandangan beliau dan kelompok beliau sebagai pembangkang, dan ini jauh berbeza dengan pandangan umum apatah lagi kejayaan kerajaan menaikkan ekonomi negara.

“Negara juga dihormati kerana kita ada pemimpin seperti Perdana Menteri yang berani berdepan pemimpin kuasa besar dunia menentang penindasan terhadap rakyat Palestin.”