KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa komited memperkasa pembangunan pendidikan dan infrastrukturnya dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi, berkemahiran dan berdaya saing.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pembangunan modal
insan di negeri ini sentiasa menjadi keutamaan bagi menyediakan pemimpin yang bakal
mencorakkan masa hadapan negeri ini.

Beliau berkata, hanya dengan pendidikan yang baik berupaya mengubah kualiti hidup
rakyat yang akhirnya menyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan negara
khususnya negeri Sabah.

“Kita tidak mahu ada yang terpinggir daripada menerima pendidikan di negeri ini.
Justeru, dalam aspek akademik, kerajaan negeri sentiasa memastikan anak-anak
Sabah dapat meneruskan pengajian hingga ke peringkat lebih tinggi, menerusi pelbagai
inisiatif yang diberikan merangkumi semua peringkat dari sekolah rendah, menengah
hingga institusi pengajian tinggi”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ikrar dan Aku Janji Sempena Minggu Suai Mesra
Sesi 2024/2025 kali ke-30 Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Dewan Canselor
universiti itu pada Selasa.

Katanya, sejak tahun 1967 hingga Jun 2024, seramai 121,897 pelajar telah mendapat
manfaat daripada inisiatif bantuan pendidikan YS melibatkan perbelanjaan berjumlah
RM868 juta.

Menurutnya, kerajaan sentiasa peka dengan keperluan dan rintihan pelajar, buat julung
kalinya telah memberi bantuan subsidi tiket penerbangan menerusi Subsidi Graduan
Rindu Sabah berjumlah RM600.00 seorang kepada semua pelajar Sabah yang belajar
di universiti awam dan swasta di Semenanjung, Sarawak dan Labuan pada bulan Mac
lalu dengan peruntukan lebih RM10 juta.

Selain itu katanya, pada tahun 2023 kerajaan telah menambah peruntukan Biasiswa
Kerajaan Negeri Sabah daripada RM55 juta kepada RM101 juta.

 

Hajiji berkata, beliau telah melancarkan Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS)-inisiatif
baharu di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memperkasakan serta
memudahkan penyaluran bantuan kepada anak Sabah terutama pada peringkat
pengajian tinggi melalui gabungan kerjasama badan penaja utama dan pemberi
bantuan pendidikan di negeri ini.

“Ini adalah sebahagian dari inisiatif dan bantuan yang telah dirancang dan dilaksana
oleh kerajaan negeri bagi membangunkan modal insan di negeri ini melalui pelan
pembangunan Hala Tuju SMJ. Banyak lagi inisiatif, bantuan dan program yang telah
dirancang bagi meningkatkan lagi keupayaan modal insan negeri ini agar Sabah lebih
maju ke hadapan”, katanya.

Menurutnya, kerajaan dan rakyat Sabah amat bangga dengan pencapaian semasa
UMS yang telah membantu menjana transformasi pembangunan di negeri ini dalam
pelbagai aspek, selain menjadi pusat rujukan terutamanya di Sabah.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama kepada UMS dalam membantu
usaha ke arah kemajuan dan peningkatan tahap pendidikan tinggi negara, sesuai
dengan pelan pembangunan Hala Tuju SMJ yang turut memberi penekanan kepada
pembangunan modal insan selain sektor perindustrian, pertanian dan pelancongan
sebagai teras utama dalam memulihkan semula ekonomi negeri ini.

Beliau yang juga Pro Canselor UMS mahu universiti itu terus mewujudkan persekitaran
pendidikan tinggi yang mampu menjadi pusat ilmu unggul dan menghasilkan graduan
berdaya saing dan berinovasi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir untuk
negara dan negeri Sabah.

“Justeru, pihak institusi pengajian tinggi termasuk UMS digalakkan untuk memperkukuh
kerjasama dengan pemain industri dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan,
pengkomersialan dan inovasi”, katanya.

Hajiji mahu siswa siswi UMS sentiasa mematuhi segala peraturan kampus,
mendahulukan tanggungjawab sebagai pelajar serta berusaha dengan gigih untuk
menjadi insan cemerlang serta menggunakan segala ilmu yang diperoleh di menara
gading untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara.-pr/BNN