TAMBUNAN: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Bahagian N.39 Tambunan kini diterajui oleh Ketua Bahagian yang baharu, Encik Cyril Pauting Yansalang telah selesai mengadakan Mesyuarat Agung Tri-Tahunannya di Asrama Tongkungon, Kompleks Sukan Tambunan dekat sini, baru-baru ini.
Dalam ucapan penggulungannya, Cyril berikrar memberikan sepenuh komitmen kepada parti dengan iltizam berkhidmat tanpa mengira ranjau dan onak yang bakal ditempuhi.
“Jatuh bangun, hidup mati saya bersama PBRS.Seluruh Jawatankuasa PBRS Bahagian N.39 Tambunan dan ahli-ahli aktif di peringkat akar umbi tetap menumpahkan kesetiaan padu kepada parti dan Barisan Nasional (BN).
“Mesyuarat bahagian ini menjadi platform kepada ahli-ahli parti untuk memperbaharui janji setia serta menyusun strategi demi mengukuhkan kekuatan PBRS dalam menghadapi cabaran politik yang kian kompleks”, katanya.
Menurutnya, meskipun bahagian itu pernah mengalami krisis apabila berlaku peletakan jawatan secara beramai-ramai oleh pemimpin dan ahli-ahli PBRS Tambunan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15, namun keutuhan parti itu tidak pernah terjejas.
Katanya, dengan sokongan padu dan kesetiaan ahli-ahli yang masih teguh berjuang demi parti, PBRS Tambunan terus bangkit dalam semangat juang yang utuh. Kini, dengan fasa pemulihan yang giat dijalankan, kepimpinan bahagian ini kembali kukuh di bawah barisan kepemimpinan yang baharu bagi sesi 2024-2027.
Cyril berkata, Mesyuarat Agung Tri-Tahunan yang diadakan itu membuktikan bahawa semangat perjuangan dalam kalangan ahli PBRS Tambunan tidak pernah luntur, malah semakin menyala demi masa depan parti dan negeri tercinta.
Sementara itu, Naib Presiden II PBRS, Encik Vincent Lee yang merasmikan mesyuarat itu memuji semangat juang ahli-ahli PBRS Tambunan yang tidak pernah luntur dalam mengangkat martabat rakyat dan memastikan perjuangan parti terus berkobar.
“PBRS N.39 Tambunan memiliki kelebihan tersendiri melalui kepelbagaian latar belakang dan semangat yang tidak kenal erti putus asa oleh ahli-ahli parti.
“Dengan barisan kepimpinan baharu, PBRS Tambunan bakal melangkah lebih jauh, mengharungi cabaran demi memperkukuhkan kedudukan parti dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah, khususnya di Tambunan”, katanya.
Beliau berharap kepimpinan baharu PBRS Tambunan memainkan peranan yang lebih progresif dalam memastikan kemajuan dan kesejahteraan bahagian ini.
Sempena majlis itu, Cyril turut menyerahkan sumbangan ikhlas berupa barangan dapur kepada 5 orang penerima yang terpilih.-pr/BNN