TUARAN: Kerajaan Negeri telah berjaya membawa banyak perubahan positif dalam bidang ekonomi dan semua aspek pembangunan di negeri ini, sepanjang tempoh empat
tahun lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, antaranya Sabah telah
memperoleh penyertaan yang lebih besar dalam pembangunan industri minyak dan gas
di negeri ini.
Katanya, selain terus menjayakan inisiatif dan agenda dalam Pelan Pembangunan Hala
Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan negeri terus menerokai sumber-sumber baharu
untuk menyokong sumber ekonomi sedia ada, supaya pertumbuhan ekonomi negeri
dapat terus dipertingkatkan dari tahun ke tahun.
“Bagaimanapun, semua ini sudah pasti memerlukan sokongan berterusan daripada
semua pihak khususnya rakyat, untuk kita membangunkan negeri ini”, katanya pada
Majlis Perasmian Penutupan Program MyLesen Madani 2024 Peringkat Negeri Sabah
di Dewan Seri Sulaman, Tuaran pada Sabtu.
Menurutnya, banyak usaha dan inisitiaf telah dan sedang dibuat kerajaan negeri untuk
membantu rakyat khususnya golongan B40, sama ada dalam aspek peningkatan
ekonomi dan pendidikan, seiring dengan komitmen untuk membasmi kemiskinan
terutama miskin tegar yang merupakan antara agenda penting kerajaan.
Katanya, kerajaan mengambil beberapa pendekatan agresif termasuklah menawarkan
pekerjaan kepada Ketua atau ahli Isi Rumah golongan berkenaan. Program yang
berterusan ini melibatkan kerjasama beberapa agensi Kerajaan dengan sektor swasta,
yang diselaraskan oleh Sekretariat Sabah Maju Jaya.
Beliau berkata, dalam menoktahkan miskin tegar, Kerajaan Negeri mensasarkan untuk
membina 3,000 unit Rumah Mesra SMJ pada tahun hadapan di kesemua 73 kawasan
Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan kos berjumlah RM250 juta.
Hajiji berkata, untuk pembangunan modal insan, kerajaan negeri telah menambah sekali
ganda peruntukan untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) menjadikannya kini
berjumlah RM127 juta, berbanding hanya RM50 juta sebelumnya.“SABAH MAJU JAYA”
“Penambahan ini sudah tentu berupaya membantu lebih ramai lagi anak-anak Sabah
yang berkelayakkan tetapi memerlukan bantuan dari segi pembiayaan kos pengajian
mereka di institusi pengajian tinggi”, katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri dan persekutuan sentiasa mengambil berat denyut nadi
dan keperluan rakyat daripada segenap lapisan masyarakat sama ada di kawasan
bandar mahupun luar bandar, telah bekerjasama dalam melaksanakan pelbagai inisiatif
kepada rakyat terutamanya dalam aspek pengangkutan.
Katanya, Program MyLesen Madani 2024 peringkat negeri Sabah adalah bukti
kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, untuk membantu golongan
sasar khususnya golongan B40 untuk memiliki lesen memandu di negeri ini.
Beliau berkata, menerusi program itu bagi negeri Sabah, sebanyak 3,110 kuota telah
diberikan tahun ini, meningkat berbanding 500 kuota pada tahun 2023.
Hajiji berkata, Program MyLesen Madani 2024 Daerah Tuaran melibatkan empat (4)
kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan
Kiulu membabitkan seramai 500 orang peserta.
“Penganjuran Program MyLesen MADANI 2024 peringkat negeri Sabah ini sudah pasti
dapat meningkatkan tahap pemilikan lesen dalam kalangan penduduk di Sabah
terutamanya golongan B40. Ia adalah antara usaha murni kerajaan membantu golongan
berpendapatan rendah memiliki lesen dalam memperkasa mobiliti rakyat untuk
memperluaskan peluang pekerjaan, pendidikan dan ekonomi kalangan masyarakat luar
bandar”, tegasnya.
Beliau juga berharap program itu dapat meningkatkan disiplin para peserta untuk
sentiasa mengutamakan keselamatan jalan raya dengan penerapan pemanduan
berhemah.-pr/BNN