KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin mengingatkan pihak tertentu agar menghentikan segala tomahan dan fitnah terhadap bakal Yang Di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.
Katanya, Musa merupakan tokoh yang paling tepat dan sesuai dilantik sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sabah yang baharu setelah tempoh penyandang, Tun Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin berakhir pada 31 Disember 2024.
Beliau berkata, pelantikan Musa sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sabah ke 11, sepatutnya tidak menjadi isu kerana ianya dilaksanakan berdasarkan Perlembagaan Negeri.
Menurutnya, Musa selaku bekas Ketua Menteri Sabah merupakan tokoh yang berpengalaman dan begitu banyak sumbangan dan jasa beliau kepada Sabah khususnya dalam bidang ekonomi, pembangunan infrastruktur, sosial dan politik.
“Memandang pihak tertentu terus membuat pelbagai fitnah dan tomahan tidak berasas terhadap Musa, kepimpinan negara dan negeri, saya menggesa mereka agar menghentikan segera tindakan tersebut.
“Memfitnah dan menghasut rakyat untuk membenci kepimpinan negara dan negeri serta melibatkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim amat tidak wajar”, katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri penuh dibawah pentadbiran Musa.
Sultan Ibrahim yang telah berkenan menyampaikan Surat Cara Perlantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 kepada Musa dan seterusnya pengurniaan pingat kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara di Istana Negara pada 17 Disember.-pr/BNN