TUARAN: STARSABAH Tuaran mahu Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor terus memimpin kerajaan Sabah. Ketua Bahagian STAR N.15 Kiulu, Terence Sinti, berkata, sejak kerajaan GRS mengambil alih pentadbiran kerajaan Sabah selepas PRN16, Sabah dibawah kepimpinan YAB Ketua Menteri telah menunjukkan peningkatan yang sangat ketara, khususnya dalam meningkatkan hasil kerajaan negeri, kemasukan pelabur asing dan domestik, serta memacu pertumbuhan ekonomi yang positif.
Sejak tahun 2021, Sabah menunjukkan peningkatan yang sangat ketara dalam pungutan hasil dari RM5.449 bilion pada 2021 kepada RM6.97 bilion pada tahun 2023. Sabah juga menunjukkan peningkatan yang sangat besar dalam meningkatkan nilai pelaburan dan berada di kedudukan pelaburan ke-7 tertinggi di dalam negara. Semua ini jelas menunjukkan bukti bahawa di bawah kepimpinan YAB Ketua Menteri, Sabah berada di landasan yang baik untuk terus maju menjelang tahun 2025.
Terence Sinti berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Sambutan Krismas anjuran STARSABAH P.170 Tuaran baru-baru ini. Terence Sinti yang juga merupakan Setiausaha Penganjur STARSABAH dan selaku pengerusi penganjur majlis Santai Krismas pada malam itu, semasa dalam ucapannya turut menyatakan bahawa STARSABAH P.170 Tuaran telah siap sedia menghadapi pilihan raya yang dijangka akan diadakan pada tahun hadapan.
Semua jentera pilihan raya STAR di peringkat bahagian DUN Sulaman, Dun Dalit, Dun Tamparuli, dan Dun Kiulu telah bersiap sedia turun padang membantu berkempen untuk memastikan calon-calon GRS menang di semua DUN yang akan ditandingi GRS di kawasan parlimen Tuaran. Dalam majlis itu, selain acara sambutan perayaan Krismas, turut diadakan acara kesyukuran meraihan perlantikan YB Senator Datuk Edward Linggu sebagai Ahli Dewan Negara baru-baru ini.
Menurut Terence Sinti, perlantikan ini merupakan satu penghormatan kepada STARSABAH, khususnya di daerah Tuaran. “Saya percaya dengan perlantikan ini, YB Senator Datuk Edward Linggu akan memainkan peranan yang sangat penting dalam memperjuangkan suara-suara rakyat, khususnya di daerah Tuaran ini untuk dibawa ke perhatian kerajaan persekutuan,” kata beliau.
“Saya yakin dengan pengalaman yang ada, beliau akan menambahkan lagi suara-suara pemimpin Sabah yang mahu agar Sabah dilayan dengan lebih adil dan saksama oleh kerajaan persekutuan, bersuara memperjuangkan hak-hak Sabah termasuk perjanjian Malaysia (MA63).”
Majlis Sambutan Krismas itu telah dihadiri sekitar 150 orang, dengan kehadiran YB Senator Datuk Edward Linggu sebagai tetamu kehormat. Turut hadir ialah Dr Paul Porodong, pengarah Strategik STARSABAH, Datuk Raymond Tombung, Penasihat STARSABAH, Jordan Jude Ellorn, Ketua Exco Wiramuda STARSABAH, Jinitoh Sontori, Ketua Bahagian STAR Tamparuli, Datuk Kapitan Stephen Teo, Ketua Bahagian Karambunai, dan Dr Pro. Hendry Banting, Perunding Media Khas STARSABAH. Selain itu, majlis turut diserikan dengan kehadiran Datuk Kalakau Untul, Timbalan Presiden Dusun Sabah Bersatu (USDA), Madin Anak PPM Tamparuli, Ronny Soon, dan Puan Joanna Sue Henley Rampas.-pr/BNN